Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Pernah atau tidak anda merasakan terlalu sukar untuk bergaul dengan pasangan yang memiliki personaliti introvert?

Tidak hairan jika perkara seperti ini berlaku kerana mereka merupakan personaliti yang tidak banyak bicara, sukar mengungkapkan isi hati dan pemikiran secara terbuka. Marti Olsen Laney dalam buku The Introvert Advantage berkongsi bahawa golongan introvert ini memerlukan waktu untuk berfikir sebelum memberi respon balas terhadap kejadian di dunia luar. 

Jadi, bagi anda yang memiliki personaliti berlawanan iaitu ekstrovert, mari kita belajar kaedah terbaik untuk berkomunikasi dengan pasangan introvert anda.

  1. Dilarang mencelah 

Individu introvert memerlukan banyak tenaga untuk melanjutkan perbicaraannya. Hal ini kerana mereka mengambil masa untuk berfikir dan menyusun perkataan dengan baik sebelum melontarkannya. Justeru, ketika mereka berbicara dengarkan setiap percakapan mereka dengan baik tanpa mencelah.

Dengarkan sehingga mereka selesai kemudian baru utarakan idea atau perasaan anda kepadanya. Sebaik-baiknya rancang dan maklumkan terlebih dahulu jika anda ingin berbincang sesuatu perkara dengannya. Ini akan membantu mereka untuk bersedia dengan lebih awal dalam perbincangan tersebut.

  1. Duduk dengan tenang

Duduk dengan baik dan tenang di samping pasangan introvert anda di saat dia berehat di sisi anda. Hal ini menunjukkan bahawa pasangan anda mungkin keletihan dan ingin berkongsi rasa dengan anda. Ketika dia berbicara, pastikan anda memberi respon balas dan mendengar dengan baik. Ini akan membuatkan pasangan anda rasa amat dihargai.

  1. Beri peluang kepadanya untuk berbicara

Individu introvert terkenal dengan karakter pendengar yang baik. Walaupun begitu, selain membiarkannya terus mendengar pastikan anda juga membuka ruang untuknya berbicara. Anda boleh bertanyakan tentang bagaimana hari yang dilaluinya atau apa-apa sahaja sebagai pembuka untuk memujuknya berbicara.

  1. Berkomunikasi secara tulisan

Anda boleh mewarnai kehidupannya dengan pelbagai tulisan-tulisan atau kata-kata romantik melalui kad ucapan atau pesanan ringkas di telefon. Hal ini kerana individu introvert sangat menyukai komunikasi yang tidak memerlukannya untuk bersuara. Mereka lebih memilih untuk menulis atau membaca berbanding memberi respon secara lisan.

  1. Gunakan komunikasi nonverbal

Ada ketikanya pasangan introvert anda amat sukar untuk berbicara dan berkongsi perasaan yang dialaminya. Untuk membuatkan pasangan anda rasa tenang dan dihargai, gunakan komunikasi nonverbal seperti memegang tangannya atau berpelukan di saat dia memerlukan. 

Selamat beramal dan menyemai cinta dengan aman bersama pasangan introvert anda. 
Perlukan khidmat kaunseling, boleh layari www.tilljannah.my/kaunseling ya !

Tips Untuk Menjadi Suami Yang Hebat

Tips Untuk Menjadi Suami Yang Hebat

Dalam sesebuah perkahwinan, kedua-dua pasangan perlu memainkan peranan dalam menjayakan mahligai yang dibina. Suami mahupun isteri perlu fahami tanggungjawab serta tugas-tugas yang harus dilaksanakan bagi mengelakkan masalah yang akan datang.

Suami sebagai contohnya, perlu memberi nafkah, mendidik, melindungi dan memelihara isterinya. Manakala si isteri, wajib mentaati dan menghormati suaminya sebagai ketua keluarga. Namun, jika dilihat zaman sekarang, masih sahaja berlaku banyak perceraian antara suami isteri yang disebabkan oleh hal-hal tertentu. Walaupun ianya sudah menjadi ketentuan takdir, masih lagi ada panduan yang boleh anda semua rujuk bagi mengelakkan perceraian.

  1. Menjadi pendengar yang baik

Setiap orang mahu didengari luahan isi hatinya. Baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai luahan hati yang terbuku. Dalam rumahtangga, apa yang anda boleh lakukan ialah ada kan satu masa pada setiap hari untuk berbual bersama pasangan. Di sini anda akan dapat mendengar segala cerita tentang harinya seperti perasaan marah, sedih, gembira dan sebagainya.

  1. Saling membantu

Jika anda melihat isteri anda sedang sibuk memasak, mungkin anda boleh membantunya dengan menyediakan pinggan dan cawan di meja makan atau bantu mengemas dapur sesudah si dia memasak. Elakkan si dia berseorangan dalam mengurus rumah. Ambil inisiatif untuk bantu meringankan beban isteri. Dalam rumahtangga, perlu wujud kerjasama antara pasangan.

  1. Tidak berkira atau kedekut

Jangan terlalu berkira dengan pasangan anda sehingga si dia tidak dibenarkan untuk membeli atau membelanjakan apa-apa untuk keinginannya. Anda disarankan untuk membekalkan duit perbelanjaan persendirian untuk isteri secara bulanan. Sediakan wang saku yang boleh digunakan isteri untuk membeli barang keinginannya seperti alat solek, beg tangan, minyak wangi dan sebagainya. Apabila anda berbelanja untuk pasangan, nescaya rezeki akan dimurahkan dan ditambah lagi oleh Allah SWT. Sekiranya anda tidak mampu, maka berbincanglah secara baik dengan pasangan anda. 

  1. Menjaga kebajikan pasangan

Sentiasa peka dengan kebajikan isteri anda. Pastikan pasangan anda dalam keadaan tubuh badan yang sihat serta kondisi mental yang stabil. Wanita sangat suka akan pasangan yang sentiasa bertanya akan keadaannya. Suami yang rajin mengambil berat akan membuatkan isterinya rasa disayangi dan dihargai.

  1. Banyak meluangkan masa bersama

Pasangan yang kurang meluangkan masa bersama akan mendatangkan masalah di kemudian hari. Jangan terlalu sibuk dengan kerja sehingga isteri di depan mata juga tidak dihiraukan! Cari sekurang-kurangnya satu hari untuk keluar berdua bagi meluangkan masa bersama. Banyakkan komunikasi antara satu sama lain dan InshaAllah mahligai yang dibina dapat dipanjangkan sehingga ke syurga Allah.

Sifa-Sifat Yang Majoriti Wanita Tidak Sukai

Sifa-Sifat Yang Majoriti Wanita Tidak Sukai

Woman in Brown Hijab and Black Long Sleeve Shirt
  1. Pengotor

Lelaki yang tidak pandai menjaga kebersihan diri dan persekitarannya memang belum layak berkahwin. Membela kuku yang panjang dan kotor, pakai baju berbau, atau buang sampah merata-rata tempat sememangnya akan menjadi ‘major turn off’ buat kaum wanita!

  1. Pemalas

Sifat malas seperti tidak mahu berusaha atau hanya mengharapkan belas kasihan dan bantuan orang adalah sifat yang perlu dielakkan. Jadilah lelaki yang rajin berusaha dan mempunyai hala tuju dalam kehidupan.

  1. Panas baran

Marah merupakan emosi semula jadi yang bersifat negatif. Cepat marah atau panas baran ini merupakan perkara yang sangat tidak disukai oleh majoriti wanita seluruh dunia. Belajarlah untuk bertenang dan mengawal kemarahan anda apabila berdepan dengan situasi yang menguji kesabaran anda. Orang yang berjaya mengawal sifat amarahnya adalah orang yang hebat. Mereka dianggap hebat kerana berjaya melawan bisikan syaitan yang ingin menyesatkan umat Muhammad SAW.

  1. Maki hamun

Lelaki yang tidak tahu menjaga pertuturannya dengan mengeluarkan kata-kata makian perlu dijauhi. Sifat ini tidak disukai kerana ia boleh melemahkan kesihatan mental seseorang itu. 

  1. Tidak beradab

Tidak menjaga adab dapat dilihat dengan perbuatan seperti tidak tahu menghormati orang lain seperti wanita atau mereka yang lebih berusia. 

  1. Gatal

Wanita sangat bencikan lelaki yang bersifat gatal! Jika anda melihat wanita yang tidak dikenali sedang berjalan keseorangan, jangan sesekali mengganggu dia. Jaga jarak dan pandangan anda kerana anda akan membuatkan mereka berasa tidak aman dan tidak selesa.

  1. Kasar

Berlembutlah dengan wanita yang anda sayangi. Ucap kata-kata dengan lembut serta layanilah mereka dengan penuh kasih sayang. Lelaki yang bersifat kasar dan tidak sopan sememangnya tidak digemari wanita.

  1. Terlalu mengongkong

Lelaki yang terlalu mengawal pergerakan pasangannya akan membuatkan si dia berasa rimas dan bosan! Jangan terlalu mengongkong sehingga pasangan wanita anda tidak dibenarkan untuk berbuat apa-apa. Selagi si dia memahami batas pergaulannya, maka tiada apa yang perlu dirisaukan.

Cara Memilih Pasangan Yang Baik

Cara Memilih Pasangan Yang Baik

Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya untuk menikahi lelaki dan wanita yang baik bagi menjamin kepentingan hari Akhirah seseorang itu. Tuhan juga telah memerintah Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan wahyu ini kepada seluruh umat Islam dengan mengikuti kriteria-kriteria yang telah ditetapkan seperti dalam Al-Qur’an dan Hadith. Jadi apakah kriteria penting dalam memilih pasangan yang baik menurut ajaran Rasulullah SAW?

  1. Melihat agama dan keimanannya

Dalam mencari pasangan yang baik, perkara pertama yang Rasulullah SAW tekankan adalah dengan melihat ketaqwaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Anda boleh menilai dengan memerhatikan ibadah, akidah, akhlak, pertuturan, serta kehormatannya. Calon yang sesuai dijadikan pasangan bukan sahaja perlu bagus dari segi kepercayaan agamanya, tetapi juga dengan kefahaman agama yang betul. 

  1. Memeriksa latar belakang keturunan

Mengapakah keturunan seseorang itu dikatakan penting? Tidak salah sekiranya anda memeriksa latar belakang keluarga bakal pasangan anda terlebih dahulu. Perkara ini dianggap penting bagi mengelakkan permasalahan di masa yang akan datang. Sebaiknya carilah seseorang yang sama darjat dengan kita serta yang datang dari keturunan yang baik-baik. 

Sekiranya anda mengetahui si dia merupakan anak luar nikah atau abangnya seorang bekas penjenayah, maka bolehlah anda menilai bakal pasangan tersebut dari segi lain seperti agama dan akhlaknya terlebih dahulu.  

  1. Melihat kecantikan atau ketampanan

Lumrah seorang manusia itu untuk melihat rupa paras seseorang terlebih dahulu. Wanita akan menilai ketampanan lelaki yang didatanginya, begitu juga dengan lelaki yang menilai kecantikan wanita yang digemarinya. Namun, kriteria ini terpulang kepada individu tersebut kerana kecantikan dan ketampanan itu merupakan sebuah elemen yang bersifat subjektif dimana ianya tidak seharusnya menjadi pengukur utama dalam memilih pasangan. Seperti Rasulullah SAW bersabda, 

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekayaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”. (Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)

  1. Mengetahui kekayaan dan harta benda

Mengapakah kekayaan dan harta benda seseorang itu dikatakan penting dalam menentukan calon pasangan? Ini kerana kekayaan yang tidak berlandaskan syarak akan membawa bencana dan tidak diberkati Allah SWT. Pentingnya untuk anda mengetahui saluran pendapatan bakal pasangan bagi mengelakkan permasalahan di masa yang akan datang. Pastikan pendapatan yang dijana oleh si dia adalah dari sumber yang halal dan bebas dari perkara syubhah. 

Selain itu, bagi kaum wanita anda juga disarankan untuk melihat kekayaannya atas dasar untuk membina rumah tangga. Melihat keadaan ekonomi sekarang, sekiranya anda berkahwin dengan seseorang lelaki yang tidak bekerja, apakah anda yakin kehidupan rumah tangga dapat diurus dengan baik? Adakah anda yakin bakal ketua keluarga anda mampu memberi nafkah yang sepatutnya? Namun sekiranya si dia bekerja tetapi ada pendapatan yang tidak terlalu tinggi, maka perkara ini boleh dikecualikan. Harta benda atau kekayaan seseorang tidak perlu mencecah nilai jutaan ringgit, cukup sekadar mampu menanggung keluarga yang akan dibina bersama di kemudian hari.

Kewajipan Seorang Lelaki Setelah Menikah

Kewajipan Seorang Lelaki Setelah Menikah

two person holding hands while standing
  1. Menjadi pemimpin dan ketua keluarga

Seorang suami wajib membimbing isteri dan anak-anaknya dalam apa jua urusan berkenaan rumah tangga dan kekeluargaan. Anda akan menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab ke atas makan, minum, pakaian serta tempat tinggal isteri dan bakal anak-anak.

  1. Mengajarkan ilmu agama kepada isteri dan anak-anak

Kewajipan mendidik ilmu agama kepada isteri dan anak-anak adalah amat penting. Sebagai suami, anda akan menjadi imam yang mengetuai keluarga. Seorang suami wajib mengajar isteri dan anak-anaknya untuk mendirikan solat, menutup aurat, menjaga akhlak, meninggalkan kemungkaran dan banyak lagi. 

  1. Menjaga dan memelihara isteri

Seperti mana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Imam Ahmad). Seorang suami wajib memelihara dan melindungi isterinya seperti mana dapat dilihat oleh kasih sayang yang ditunjuk oleh Nabi SAW terhadap isteri-isteri baginda. 

  1. Memberi nafkah

Memberi nafkah zahir dan batin juga merupakan perkara penting dalam undang-undang Islam. Seorang isteri mempunyai hak ke atas nafkah dan sekiranya ia tidak dilunaskan, mereka dibenarkan untuk menuntutnya di Mahkamah Syariah. Nafkah merupakan tanggungjawab suami dan wajib ditunaikan. Sekiranya gagal, perkara ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

  1. Berbakti kepada ibu bapa

Setelah berkahwin, tanggungjawab seorang anak lelaki ke atas orang tuanya masih tidak terputus. Anak lelaki wajib berbakti kepada ibu bapanya walau telah berpisah tempat tinggal dan bertukar status. Disini seorang isteri harus sentiasa mengingatkan sang suami untuk tidak melupakan juga tanggungjawab mereka ke atas ibu bapa seperti menziarahi, memberi wang bulanan, menjaga kebajikan dan sebagainya. 

  1. Terus memperbaiki diri

Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini, sebab itu kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Jika sebelum ini anda seorang yang suka berbuat sepah, maka perbaikilah sikap tersebut. Anda boleh mula merajinkan diri untuk mengemas kawasan rumah, membersihkan dapur atau membasuh tandas. Perkara ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati isteri anda!

Dalam menjayakan masjid yang dibina ini, banyak tanggungjawab dan kewajipan seorang suami perlu tunaikan. Suami harus fahami bahawa kehidupan berkahwin itu tidak lagi sama seperti waktu bujang. Jika pada zaman bujang anda sering keluar melepak sehingga lewat malam, maka selepas berkahwin anda tidak boleh lagi berbuat demikian. Anda mempunyai isteri dan anak-anak di rumah yang harus difikirkan. Keselamatan dan keselesaan mereka harus diutamakan, jika tidak, perkara tersebut akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari Akhirat kelak. Akhir kata, didoakan agar semua pembaca lelaki blog TillJannah ini dapat menjadi seorang suami dan anak yang soleh.