Doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT akan dijawab melalui tiga cara. Yang pertama, doa itu akan dimakbulkan terus mengikut permintaan anda. Yang kedua, doa itu akan ditangguhkan ke masa atau waktu yang lebih sesuai. Dan akhir sekali, Allah SWT menggantikan permintaan anda dengan sesuatu yang jauh lebih baik. Setiap doa yang diminta tidak pernah dibiarkan begitu saja. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segalanya tentang isi hati setiap hamba-Nya. Maka apakah tanda-tanda untuk mengetahui sekiranya doa-doa kita itu dimakbul oleh Tuhan?
- Tidak berputus asa mengulangi doa yang sama
Anda akan terus berusaha dengan mengulangi doa yang sama kerana anda yakin Allah itu Maha Mendengar. Doa yang dimakbul itu akan membuatkan berasa tenang dan tidak mudah lelah walau berapa banyak kali sudah diulangi.
- Mendapat kawan-kawan yang baik dan berakhlak mulia
Mendapat kawan-kawan yang sering mengajak anda melakukan kebaikan atau diletakkan dalam persekitaran yang baik, juga merupakan salah satu tanda menunjukkan doa anda itu dimakbul oleh Tuhan. Tanda Allah SWT menyayangi seseorang itu apabila anda melihat perubahan yang baik dari pelbagai aspek.
- Menjauhkan diri daripada perkara maksiat
Sekiranya anda mula menjauhi maksiat atau mula mendekatkan diri kepada Tuhan, maka itu menunjukkan bahawa doa anda termakbul! Mereka yang disayangi Allah SWT, akan didekatkan hatinya ke jalan yang lurus dan diredhai-Nya.
- Mula berusaha ke arah yang lebih baik
Apabila anda mula mendekatkan diri kepada Tuhan, maka itu merupakan petanda bahawa cahaya hidayah itu telah menembusi hati anda. Doa yang dimakbul Allah akan membuatkan diri kita untuk terus berusaha melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya mereka yang kurang melakukan dosa akan lebih mudah untuk dimakbulkan doanya.
Konklusinya, jangan pernah berputus asa dalam berdoa. Teruskan meminta sebanyak mana yang anda inginkan. Ini kerana, tiada doa mahupun permintaan yang mustahil pada Allah SWT.