Apabila Bekas Pasangan Yang Lalu Datang Kembali…

Banyak kisah-kisah yang didengari apabila berlakunya keruntuhan rumahtangga berpunca daripada orang yang ketiga. Ada yang sudah membina rumahtangga bertahun-tahun, tetapi akhirnya tewas dengan kedatangan bekas pasangan atau orang baru.

Ada yang datang dengan alasan hanya ingin bertanya khabar atau meminta pertolongan. Namun hari berselang hari, perbualan yang bermula dengan pertanyaan khabar tersebut terbawa ke arah yang lebih serius. Ada yang sehingga terjatuh hati dengan orang ketiga tersebut! Maka berlakulah keretakan perkahwinan sehingga ada yang bergaduh dan bermasam muka atau lebih teruk, bercerai-berai. Sekiranya anda dihimpit dengan situasi sebegini, apakah yang patut anda lakukan? 

  1. Jujur

Jika anda didatangi oleh bekas kekasih, perkara pertama yang harus anda lakukan ialah jujur dengan pasangan anda. Beritahu suami atau isteri anda tentang perkara ini. Jangan sesekali rahsiakan daripada mereka kerana ia akan menimbulkan syak wasangka di hari kemudian. 

  1. Tegas

Selain daripada jujur, anda juga harus tegas dengan pendirian anda apabila berurusan dengan bekas kekasih atau orang berlainan jantina. Elakkan daripada berbual kosong atau melengah-lengahkan urusan. Jika ada perkara penting yang harus diselesaikan dengan pertemuan, maka datanglah dengan pasangan anda atau kenalan rapat. Jangan sesekali jumpa berdua-duaan kerana perkara ini sudah pasti akan menimbulkan fitnah dan mengancam status perhubungan suami dan isteri.  

  1. Sentiasa Beringat

Jika anda sudah berkahwin, maka berperilakulah seperti orang yang sudah berkahwin. Hendaklah sentiasa beringat dengan suami atau isteri serta anak-anak yang berada di rumah. Jauhi perkara yang sia-sia seperti perbualan kosong yang berlarutan. Sebaiknya jika tiada keperluan, tidak perlu dilayan apa-apa mesej dan panggilan yang tidak membawa faedah. 

  1. Tidak Melayan

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Peribahasa ini dapat diumpamakan bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada punca dan sebabnya. Sekiranya anda tidak melayan orang yang mendatangi anda tersebut, maka tiada benda yang akan berlaku. Sekiranya hanya seorang sahaja yang bertepuk sebelah tangan, maka perhubungan tersebut akan terhenti di situ sahaja. Oleh itu, jangan sesekali lemah dengan layanan mereka yang ingin mengganggu rumahtangga anda!

  1. Jaga Pertuturan dan Adab

Elakkan daripada bertutur dengan lembut atau melanjutkan perbualan ke arah yang tidak membawa faedah. Peliharalah adab kita apabila berhubung dengan orang luar terutamanya mereka yang berlainan jantina. Sekiranya bekas kekasih menghubungi anda atas dasar urusan penting, maka percepatkanlah perkara itu. 

Bagi menjaga keharmoian rumahtangga anda, sentiasalah berlaku jujur dengan pasangan anda tentang apa-apa perkara sekalipun. Elakkan berahsia atau berhubungan dengan orang luar yang tidak mendatangkan apa-apa faedah.

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial