Pasangan hidup adalah seseorang yang kita pilih untuk tinggal dan hidup bersama sehingga ke akhir hayat. Ia merupakan seseorang yang akan kita tempuhi segala cabaran dan dugaan hidup bersama. Selain itu, pasangan hidup juga merupakan pembimbing, pelindung, penyokong dan pembantu kita dalam mengaturkan segala aspek kehidupan seperti pengurusan rumah, kewangan, kerohanian dan sebagainya. Jadi, patutkah kita meletakkan satu harapan yang tinggi dan ciri-ciri yang bagus dalam memilih pasangan hidup kita?

Jawapannya ialah ya, sangat patut! Tidak kiralah wanita mahupun lelaki, kedua-duanya harus bijak dapat memilih pasangan hidup. Bakal isteri ataupun suami bukanlah seseorang yang kita kahwini sekadar untuk bersuka-suka sahaja. Alam perkahwinan dan rumahtangga itu sangat berbeza dengan alam percintaan. Perkahwinan ini merupakan satu ibadah yang berpanjangan sehingga ke akhir hayat. Jadi pentingnya anda sebagai seorang bakal suami atau isteri untuk memilih pasangan yang baik. 

Namun begitu, tidak bermaksud disini kita harus meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga tidak masuk akal! Jangan terlalu memilih sehingga anda mengharapkan bakal pasangan anda itu seorang yang terlalu sempurna dari segi semua aspek. Tiada manusia yang sempurna namun kita boleh terus meletakkan usaha yang tinggi untuk menjadi yang terbaik. 

Dalam memilih pasangan, kita juga harus pertimbangkan pelbagai perkara. Contohnya, dari segi ibadah, akhlak, keturunan, harta benda, kecantikan dan sebagainya. Jika dilihat statistik penceraian di Malaysia, banyak kes cerai terjadi di kalangan pasangan muda yang baru berkahwin. Banyak faktor yang menyumbang kepada perkara ini selain daripada takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Namun begitu, harus kita fahami bahawa pemilihan pasangan hidup bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah.

Ini kerana, selain itu, pasangan hidup kita juga merupakan bakal ibu atau bapa kepada zuriat yang akan datang. Bakal anak-anak kita mempunyai pilihan untukmemilih siapa yang menjadi ibu bapa mereka. Jadi kitalah yang harus menjadi yang terbaik untuk mereka. Ibu bapa lah yang merupakan pencorak kehidupan mereka dari kecil sehingga dewasa. Oleh itu, pentingnya kita memilih dari awal siapakah yang layak menjadi pendidik anak-anak kita disamping kita juga harus berusaha menjadi pasangan yang berkualiti. 

Seterusnya, pentingnya membuat pilihan yang betul dalam menentukan pasangan hidup kita kerana mereka ini lah yang akan menjadi pelindung serta penjaga anda, terutamanya bagi kaum wanita. Seorang lelaki yang gemar mengeluarkan kata-kata kesat atau ringan untuk mengangkat tangannya dengan anda adalah lebih baik dijauhi! Sama juga dengan wanita yang suka memaki hamun atau membuka aib pasangannya, adalah patut ditinggalkan. Teman hidup sebegini wajar dijauhi agar tidak menimbulkan permasalahan yang lebih dahsyat dalam alam perkahwinan. 

Akhir kata, buatlah pilihan yang baik dalam memilih pasangan hidup anda. Pastikan anda pertimbangkan pelbagai perkara sebelum melangkah ke alam yang lebih serius seperti penikahan dan kehidupan berumahtangga.