Wanita Berkerjaya atau Suri Rumah Lebih Baik?

Jika diperhatikan pada zaman sekarang, ramai wanita dilihat menceburi pelbagai bidang mengikut kepakaran yang bersesuaian. Semakin ramai wanita berkerjaya serta berjaya menceburi pelbagai industri di serata dunia. Tiada satu industri pun yang wanita terkecuali! 

Namun oleh kerana golongan wanita terlalu biasa dimomokkan dengan “kerja rumah” maka timbul lah persoalan oleh sesetengah pihak yang menyoal bahawa adakah ini menunjukkan kemajuan yang baik atau pun tidak? Ada juga yang menyatakan wanita lebih digalakkan untuk tinggal di rumah sahaja. Adakah penyataan ini betul sepenuhnya? 

Pertama sekali, tiada mana-mana kitab yang mewajibkan wanita itu menjadi suri rumah dengan melakukan kerja rumah dan menjaga anak-anak sahaja. Jika dilihat wanita pada zaman Rasulullah SAW, terdapat ramai diantara mereka yang keluar berjihad, berniaga dan banyak lagi. Contohnya dapat dilihat melalui isteri pertama Nabi Muhammad SAW iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwaylid yang merupakan seorang usahawan yang berjaya lagi kaya raya! Selain itu, dapat juga kita saksikan Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar yang banyak keluar terlibat dalam periwayatan hadis-hadis Nabi SAW.  Adakah ini masih bermaksud wanita itu hanya perlu tinggal di dalam rumah sahaja?

Meskipun wanita zaman kini telah banyak memilih untuk turut mencari rezeki, ini tidak bermakna wanita-wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah harus dipertikaikan. Wanita yang berkerjaya di luar rumah membawa banyak kebaikan sama sahaja seperti mereka yang menjadi suri rumah. Ini kerana, wanita yang keluar mencari rezeki sedikit sebanyak dapat meringankan beban suaminya dari segi kewangan. Manakala, mereka yang menjadi suri rumah dapat membantu suami mereka dari segi pengurusan rumah. Maka dapatlah kita lihat bahawa kedua-duanya membawa kebaikan dari sudut yang berbeza! 

Namun, oleh kerana situasi ekonomi yang semakin tidak menentu, lebih ramai wanita juga memilih untuk bekerja dari rumah. Contohnya seperti meniaga di atas talian. Perkara ini dilihat lebih fleksibel untuk kaum wanita yang gemar untuk berada di rumah sambil mencari rezeki. 

Oleh itu, dapatlah kita simpulkan disini bahawa kedua-duanya sama ada berkerjaya atau pun suri rumah, membawa kebaikan dan manfaat yang berbeza. Sekiranya wanita tersebut memilih untuk bekerja, maka dapatlah dia membantu suaminya dari segi kewangan. Manakala, wanita suri rumah akan meringankan beban suaminya dari aspek pengurusan rumah. Maka tidak perlulah kita persoalkan yang mana lebih baik kerana wanita berkerjaya mahupun suri rumah, membawa kelebihan yang patut kita raikan bersama!

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial
%d bloggers like this: