Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya untuk menikahi lelaki dan wanita yang baik bagi menjamin kepentingan hari Akhirah seseorang itu. Tuhan juga telah memerintah Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan wahyu ini kepada seluruh umat Islam dengan mengikuti kriteria-kriteria yang telah ditetapkan seperti dalam Al-Qur’an dan Hadith. Jadi apakah kriteria penting dalam memilih pasangan yang baik menurut ajaran Rasulullah SAW?

  1. Melihat agama dan keimanannya

Dalam mencari pasangan yang baik, perkara pertama yang Rasulullah SAW tekankan adalah dengan melihat ketaqwaannya terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Anda boleh menilai dengan memerhatikan ibadah, akidah, akhlak, pertuturan, serta kehormatannya. Calon yang sesuai dijadikan pasangan bukan sahaja perlu bagus dari segi kepercayaan agamanya, tetapi juga dengan kefahaman agama yang betul. 

  1. Memeriksa latar belakang keturunan

Mengapakah keturunan seseorang itu dikatakan penting? Tidak salah sekiranya anda memeriksa latar belakang keluarga bakal pasangan anda terlebih dahulu. Perkara ini dianggap penting bagi mengelakkan permasalahan di masa yang akan datang. Sebaiknya carilah seseorang yang sama darjat dengan kita serta yang datang dari keturunan yang baik-baik. 

Sekiranya anda mengetahui si dia merupakan anak luar nikah atau abangnya seorang bekas penjenayah, maka bolehlah anda menilai bakal pasangan tersebut dari segi lain seperti agama dan akhlaknya terlebih dahulu.  

  1. Melihat kecantikan atau ketampanan

Lumrah seorang manusia itu untuk melihat rupa paras seseorang terlebih dahulu. Wanita akan menilai ketampanan lelaki yang didatanginya, begitu juga dengan lelaki yang menilai kecantikan wanita yang digemarinya. Namun, kriteria ini terpulang kepada individu tersebut kerana kecantikan dan ketampanan itu merupakan sebuah elemen yang bersifat subjektif dimana ianya tidak seharusnya menjadi pengukur utama dalam memilih pasangan. Seperti Rasulullah SAW bersabda, 

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana ingin melihat kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan membawa kerosakan terhadap diri sendiri dan janganlah mengharapkan harta kekayaannya kerana mungkin dengan harta itu mereka menjadi sombong tetapi kahwinilah mereka itu kerana agama dan sesungguhnya hamba perempuan yang hitam lebih baik asalkan ia beragama”. (Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi)

  1. Mengetahui kekayaan dan harta benda

Mengapakah kekayaan dan harta benda seseorang itu dikatakan penting dalam menentukan calon pasangan? Ini kerana kekayaan yang tidak berlandaskan syarak akan membawa bencana dan tidak diberkati Allah SWT. Pentingnya untuk anda mengetahui saluran pendapatan bakal pasangan bagi mengelakkan permasalahan di masa yang akan datang. Pastikan pendapatan yang dijana oleh si dia adalah dari sumber yang halal dan bebas dari perkara syubhah. 

Selain itu, bagi kaum wanita anda juga disarankan untuk melihat kekayaannya atas dasar untuk membina rumah tangga. Melihat keadaan ekonomi sekarang, sekiranya anda berkahwin dengan seseorang lelaki yang tidak bekerja, apakah anda yakin kehidupan rumah tangga dapat diurus dengan baik? Adakah anda yakin bakal ketua keluarga anda mampu memberi nafkah yang sepatutnya? Namun sekiranya si dia bekerja tetapi ada pendapatan yang tidak terlalu tinggi, maka perkara ini boleh dikecualikan. Harta benda atau kekayaan seseorang tidak perlu mencecah nilai jutaan ringgit, cukup sekadar mampu menanggung keluarga yang akan dibina bersama di kemudian hari.