Peliharalah Dirimu Wahai Wanita…

Seseorang wanita itu sangat berharga. Makhluk yang dicipta Allah SWT kaya dengan kelembutan, kehalusan dan kasih sayang. Islam meletakkan darjat setiap wanita itu sungguh tinggi sehingga mereka dijanjikan syurga dengan begitu mudah sekali! Nilai harga diri mereka terlalu tinggi sehingga tidak ternilai. Jika dilihat wanita di zaman Rasulullah SAW, mereka ini sangat dimuliakan. Sebelum tibanya Islam, wanita dibunuh dan dilayan tidak lebih dari seorang hamba. Dengan hadirnya wahyu dari Allah SWT, diperintahkan bahawa kaum perempuan itu dipelihara dan dilindungi dengan sebaik-baiknya. 

Wanita ini sangat lembut dan manja sifatnya, hatinya mudah tersentuh mahupun terluka, dan juga merupakan salah satu ujian besar buat kaum lelaki. Jadi mengapakah kaum wanita itu disuruh untuk memelihara dirinya dengan baik? 

  1. Dijauhi dari mata-mata atau pandangan jahat

Seperti mana Allah SWT telah memerintah kaum lelaki agar menundukkan pandangan dan mengawal nafsunya, kaum wanita juga diperintahkan oleh Allah SWT untuk menutup aurat dengan baik agar dirinya terpelihara daripada niat jahat kaum lelaki di luar sana. Penutupan aurat yang sempurna merupakan salah satu cara yang dapat digunakan sebagai perlindungan diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini.  

  1. Terpelihara daripada fitnah

Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah? Ujian terbesar bagi kaum lelaki adalah wanita. Wanita yang tidak memelihara dirinya seperti bergaul bebas, membuka aurat atau berperilaku tidak senonoh akan mendedahkan dirinya dengan fitnah dunia yang merbahayakan seperti pelacuran, contohnya. Maruah diri seorang wanita harus dipelihara agar tidak dipijak oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya.  

  1. Dipelihara kesucian

Kesucian diri seorang wanita harus dipelihara agar tidak dinodai oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan sesekali anda membiarkan diri termakan dengan kata-kata atau janji-janji manis seorang lelaki yang bukan mahram atau halal buat anda. Selagi si dia masih belum bergelar suami anda, maka peliharalah diri sebaik yang mungkin. Jauhkan diri daripada berdua-duaan dengan lelaki atau bergaul tanpa batasan. Kesucian seorang wanita itu sangat tinggi nilainya dan tidak sepatutnya diserahkan dengan begitu mudah.  

  1. Mendapat ganjaran syurga

Tahukah anda, golongan wanita itu sangat mudah dimasukkan ke dalam syurga? Meskipun begitu, wanita juga merupakan penghuni yang paling ramai dalam neraka! Maka oleh itu, jagalah diri anda dengan bertaqwa kepada Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jangan terlalu mudah untuk mempercayai janji palsu seorang lelaki yang ingin mengambil kesempatan ke atas anda. Peliharalah diri anda kerana sesungguhnya ganjaran syurga itu lebih bermakna dan tidak ternilai harganya berbanding dengan ganjaran yang terdapat di dunia ini. 

Konklusinya, harga diri seorang wanita itu sangat tinggi seperti mana yang telah dimuliakan oleh Allah SWT dalam Islam. Sentiasalah pelihara diri anda daripada perkara-perkara yang dilarang-Nya dan inshaAllah, ganjaran syurga itu pasti akan menjadi milik anda!

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial
%d bloggers like this: