Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert

Pernah atau tidak anda merasakan terlalu sukar untuk bergaul dengan pasangan yang memiliki personaliti introvert?

Tidak hairan jika perkara seperti ini berlaku kerana mereka merupakan personaliti yang tidak banyak bicara, sukar mengungkapkan isi hati dan pemikiran secara terbuka. Marti Olsen Laney dalam buku The Introvert Advantage berkongsi bahawa golongan introvert ini memerlukan waktu untuk berfikir sebelum memberi respon balas terhadap kejadian di dunia luar. 

Jadi, bagi anda yang memiliki personaliti berlawanan iaitu ekstrovert, mari kita belajar kaedah terbaik untuk berkomunikasi dengan pasangan introvert anda.

  1. Dilarang mencelah 

Individu introvert memerlukan banyak tenaga untuk melanjutkan perbicaraannya. Hal ini kerana mereka mengambil masa untuk berfikir dan menyusun perkataan dengan baik sebelum melontarkannya. Justeru, ketika mereka berbicara dengarkan setiap percakapan mereka dengan baik tanpa mencelah.

Dengarkan sehingga mereka selesai kemudian baru utarakan idea atau perasaan anda kepadanya. Sebaik-baiknya rancang dan maklumkan terlebih dahulu jika anda ingin berbincang sesuatu perkara dengannya. Ini akan membantu mereka untuk bersedia dengan lebih awal dalam perbincangan tersebut.

2. Duduk dengan tenang

Duduk dengan baik dan tenang di samping pasangan introvert anda di saat dia berehat di sisi anda. Hal ini menunjukkan bahawa pasangan anda mungkin keletihan dan ingin berkongsi rasa dengan anda. Ketika dia berbicara, pastikan anda memberi respon balas dan mendengar dengan baik. Ini akan membuatkan pasangan anda rasa amat dihargai.

  1. Beri peluang kepadanya untuk berbicara

Individu introvert terkenal dengan karakter pendengar yang baik. Walaupun begitu, selain membiarkannya terus mendengar pastikan anda juga membuka ruang untuknya berbicara. Anda boleh bertanyakan tentang bagaimana hari yang dilaluinya atau apa-apa sahaja sebagai pembuka untuk memujuknya berbicara.

  1. Berkomunikasi secara tulisan

Anda boleh mewarnai kehidupannya dengan pelbagai tulisan-tulisan atau kata-kata romantik melalui kad ucapan atau pesanan ringkas di telefon. Hal ini kerana individu introvert sangat menyukai komunikasi yang tidak memerlukannya untuk bersuara. Mereka lebih memilih untuk menulis atau membaca berbanding memberi respon secara lisan.

  1. Gunakan komunikasi nonverbal

Ada ketikanya pasangan introvert anda amat sukar untuk berbicara dan berkongsi perasaan yang dialaminya. Untuk membuatkan pasangan anda rasa tenang dan dihargai, gunakan komunikasi nonverbal seperti memegang tangannya atau berpelukan di saat dia memerlukan.

Selamat beramal dan menyemai cinta dengan aman bersama pasangan introvert anda. 

Perlukan khidmat kaunseling, boleh layari www.tilljannah.my/kaunseling ya !