Kekecewaan merupakan salah satu perkara yang pasti akan dialami oleh setiap manusia. Tidak kiralah kecewa dengan cinta, kerja, pasangan, atau apa-apa sahaja sekali pun. Kekecewaan itu merupakan lumrah hidup yang tidak dapat dielakkan malah akan mematangkan seseorang itu. Fokus artikel hari ini adalah berkenaan dengan kekecewaan dalam perhubungan cinta.
1.Redha dan sabar
Setiap pertemuan itu akan diakhiri dengan perpisahan. Begitu juga dengan kita sebagai hamba Allah yang tidak akan kekal lama di dunia ini. Oleh itu, bertabahlah dengan ujian Tuhan. Apabila kita redha dengan setiap perkara yang berlaku, Allah pasti akan mendatangkan hikmah yang tidak pernah disangkal. Yakinilah bahawa setiap perkara yang pergi akan digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik untuk anda.
2. Melakukan aktiviti riadah
Bagi anda yang baru sahaja putus cinta, elakkan daripada berterusan menangis mengenangkan nasib yang menimpa anda. Boleh bersedih, tetapi biar berpada-pada. Untuk mengelakkan kesedihan yang berterusan, anda amat digalakkan untuk keluar beriadah. Lakukan aktiviti senaman atau riadah yang mudah seperti berjoging, hiking, maraton dan bermacam lagi.
3. Keluar berjalan
Saat kita bersedih, kita perlukan peneman untuk menenangkan hati yang lara. Oleh itu, anda disarankan untuk keluar bersama-sama kawan-kawan atau meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga. Jika anda inginkan pendengar luahan hati anda, maka boleh juga cari seseorang yang dipercayai untuk meluahkan. Elakkan daripada memendam rasa dan berseorangan di saat berduka.
4. Jangan ‘overthinking’
Overthinking ini normal namun apabila dilakukan berterusan, ia akan membawa padah kepada kesihatan mental anda. Oleh itu, perkara yang lalu jangan lagi dikenang. Jangan berterusan menyalahkan diri anda. Anggaplah ini sebagai ujian untuk mematangkan anda. Jika si dia adalah yang terbaik untuk anda, maka Allah akan peliharanya untuk anda. Tidak perlu takut malah percayalah dengan setiap takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya.
5. Berdoa dengan bersungguh
Doa merupakan senjata anda sebagai umat Islam. Maka manfaatkan ia selagi boleh. Teruskan memohon keampunan dan kekuatan daripada Allah agar anda boleh hadapi ujian-Nya dengan penuh kesabaran. Berdoa juga agar Allah pelihara hati anda hanya untuk si dia yang benar-benar jodoh anda.
6. Memaafkan kesilapan
Perhubungan yang dibina berakhir dengan pelbagai sebab, namun apa jua sebabnya, pilihlah untuk memaafkan. Tidak ada gunanya anda berdendam dengan bekas pasangan oleh kerana kesilapannya. Maafkan dia dan teruskan kehidupan anda. Sesungguhnya memaafkan itu adalah lebih baik kerana ia akan mendatangkan satu ketenangan untuk hati dan jiwa anda. Move forward and never look back.
7. Akhiri perhubungan dengan baik
Setiap perhubungan yang berakhir tidak semestinya akan berakhir dengan baik. Tetapi, jika anda inginkan ketenangan hidup, pilihlah untuk akhiri hubungan tersebut secara baik. Perhubungan yang berakhir dengan dendam, marah dan kekesalan akan mengganggu ketenteraman hidup anda. Oleh itu, cuba sedaya upaya untuk berbincang secara baik dan tamatkan perhubungan itu dengan berkompromi secara matang.
8. Hapuskan segala kenangan
Tiada gunanya lagi anda menyimpan semua barang-barang pemberian oleh bekas pasangan. Apabila anda menyimpan segala barang-barang ini, ia akan menyukarkan lagi proses ‘move on’ anda. Tidak perlu mengenang perkara atau kenangan yang sudah berlalu. Hidup harus diteruskan dan anda layak untuk merasai kebahagiaan!