Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Pernah atau tidak anda merasakan terlalu sukar untuk bergaul dengan pasangan yang memiliki personaliti introvert?

Tidak hairan jika perkara seperti ini berlaku kerana mereka merupakan personaliti yang tidak banyak bicara, sukar mengungkapkan isi hati dan pemikiran secara terbuka. Marti Olsen Laney dalam buku The Introvert Advantage berkongsi bahawa golongan introvert ini memerlukan waktu untuk berfikir sebelum memberi respon balas terhadap kejadian di dunia luar. 

Jadi, bagi anda yang memiliki personaliti berlawanan iaitu ekstrovert, mari kita belajar kaedah terbaik untuk berkomunikasi dengan pasangan introvert anda.

  1. Dilarang mencelah 

Individu introvert memerlukan banyak tenaga untuk melanjutkan perbicaraannya. Hal ini kerana mereka mengambil masa untuk berfikir dan menyusun perkataan dengan baik sebelum melontarkannya. Justeru, ketika mereka berbicara dengarkan setiap percakapan mereka dengan baik tanpa mencelah.

Dengarkan sehingga mereka selesai kemudian baru utarakan idea atau perasaan anda kepadanya. Sebaik-baiknya rancang dan maklumkan terlebih dahulu jika anda ingin berbincang sesuatu perkara dengannya. Ini akan membantu mereka untuk bersedia dengan lebih awal dalam perbincangan tersebut.

  1. Duduk dengan tenang

Duduk dengan baik dan tenang di samping pasangan introvert anda di saat dia berehat di sisi anda. Hal ini menunjukkan bahawa pasangan anda mungkin keletihan dan ingin berkongsi rasa dengan anda. Ketika dia berbicara, pastikan anda memberi respon balas dan mendengar dengan baik. Ini akan membuatkan pasangan anda rasa amat dihargai.

  1. Beri peluang kepadanya untuk berbicara

Individu introvert terkenal dengan karakter pendengar yang baik. Walaupun begitu, selain membiarkannya terus mendengar pastikan anda juga membuka ruang untuknya berbicara. Anda boleh bertanyakan tentang bagaimana hari yang dilaluinya atau apa-apa sahaja sebagai pembuka untuk memujuknya berbicara.

  1. Berkomunikasi secara tulisan

Anda boleh mewarnai kehidupannya dengan pelbagai tulisan-tulisan atau kata-kata romantik melalui kad ucapan atau pesanan ringkas di telefon. Hal ini kerana individu introvert sangat menyukai komunikasi yang tidak memerlukannya untuk bersuara. Mereka lebih memilih untuk menulis atau membaca berbanding memberi respon secara lisan.

  1. Gunakan komunikasi nonverbal

Ada ketikanya pasangan introvert anda amat sukar untuk berbicara dan berkongsi perasaan yang dialaminya. Untuk membuatkan pasangan anda rasa tenang dan dihargai, gunakan komunikasi nonverbal seperti memegang tangannya atau berpelukan di saat dia memerlukan. 

Selamat beramal dan menyemai cinta dengan aman bersama pasangan introvert anda. 
Perlukan khidmat kaunseling, boleh layari www.tilljannah.my/kaunseling ya !

Tip untuk Menghadapi Kekecewaan

Tip untuk Menghadapi Kekecewaan

Kekecewaan merupakan salah satu perkara yang pasti akan dialami oleh setiap manusia. Tidak kiralah kecewa dengan cinta, kerja, pasangan, atau apa-apa sahaja sekali pun. Kekecewaan itu merupakan lumrah hidup yang tidak dapat dielakkan malah akan mematangkan seseorang itu. Fokus artikel hari ini adalah berkenaan dengan kekecewaan dalam perhubungan cinta.

1.Redha dan sabar

Setiap pertemuan itu akan diakhiri dengan perpisahan. Begitu juga dengan kita sebagai hamba Allah yang tidak akan kekal lama di dunia ini. Oleh itu, bertabahlah dengan ujian Tuhan. Apabila kita redha dengan setiap perkara yang berlaku, Allah pasti akan mendatangkan hikmah yang tidak pernah disangkal. Yakinilah bahawa setiap perkara yang pergi akan digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik untuk anda.

2. Melakukan aktiviti riadah

Bagi anda yang baru sahaja putus cinta, elakkan daripada berterusan menangis mengenangkan nasib yang menimpa anda. Boleh bersedih, tetapi biar berpada-pada. Untuk mengelakkan kesedihan yang berterusan, anda amat digalakkan untuk keluar beriadah. Lakukan aktiviti senaman atau riadah yang mudah seperti berjoging, hiking, maraton dan bermacam lagi.

3. Keluar berjalan

Saat kita bersedih, kita perlukan peneman untuk menenangkan hati yang lara. Oleh itu, anda disarankan untuk keluar bersama-sama kawan-kawan atau meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga. Jika anda inginkan pendengar luahan hati anda, maka boleh juga cari seseorang yang dipercayai untuk meluahkan. Elakkan daripada memendam rasa dan berseorangan di saat berduka.

4. Jangan ‘overthinking’

Overthinking ini normal namun apabila dilakukan berterusan, ia akan membawa padah kepada kesihatan mental anda. Oleh itu, perkara yang lalu jangan lagi dikenang. Jangan berterusan menyalahkan diri anda. Anggaplah ini sebagai ujian untuk mematangkan anda. Jika si dia adalah yang terbaik untuk anda, maka Allah akan peliharanya untuk anda. Tidak perlu takut malah percayalah dengan setiap takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya.

5. Berdoa dengan bersungguh

Doa merupakan senjata anda sebagai umat Islam. Maka manfaatkan ia selagi boleh. Teruskan memohon keampunan dan kekuatan daripada Allah agar anda boleh hadapi ujian-Nya dengan penuh kesabaran. Berdoa juga agar Allah pelihara hati anda hanya untuk si dia yang benar-benar jodoh anda.

6. Memaafkan kesilapan 

Perhubungan yang dibina berakhir dengan pelbagai sebab, namun apa jua sebabnya, pilihlah untuk memaafkan. Tidak ada gunanya anda berdendam dengan bekas pasangan oleh kerana kesilapannya. Maafkan dia dan teruskan kehidupan anda. Sesungguhnya memaafkan itu adalah lebih baik kerana ia akan mendatangkan satu ketenangan untuk hati dan jiwa anda. Move forward and never look back.

7. Akhiri perhubungan dengan baik

Setiap perhubungan yang berakhir tidak semestinya akan berakhir dengan baik. Tetapi, jika anda inginkan ketenangan hidup, pilihlah untuk akhiri hubungan tersebut secara baik. Perhubungan yang berakhir dengan dendam, marah dan kekesalan akan mengganggu ketenteraman hidup anda. Oleh itu, cuba sedaya upaya untuk berbincang secara baik dan tamatkan perhubungan itu dengan berkompromi secara matang.

8. Hapuskan segala kenangan

Tiada gunanya lagi anda menyimpan semua barang-barang pemberian oleh bekas pasangan. Apabila anda menyimpan segala barang-barang ini, ia akan menyukarkan lagi proses ‘move on’ anda. Tidak perlu mengenang perkara atau kenangan yang sudah berlalu. Hidup harus diteruskan dan anda layak untuk merasai kebahagiaan!

Cara-cara Untuk Mendekati Wanita Yang Anda Minati!

Cara-cara Untuk Mendekati Wanita Yang Anda Minati!

Ramai lelaki di luar sana yang masih kesepian dan tidak berteman oleh kerana tidak tahu cara yang betul untuk mendekati wanita yang diingini. Wanita ini merupakan makhluk yang punyai hati yang lembut, maka cara pendekatannya juga perlu dengan cara yang lembut. 

Mungkin anda pernah mencuba beberapa kali namun masih gagal. Memikirkan usia yang sudah semakin meningkat dan ketiadaan pasangan hidup boleh menyebabkan kerisauan buat sesetengah jejaka di luar sana. Oleh itu, apakah langkah yang terbaik perlu dilakukan? Jom baca panduan di bawah untuk mengetahui cara yang betul untuk mendekati wanita yang anda minati!

  1. Niat yang baik

Nak mengenali seseorang itu, pastikan niat anda adalah baik. Terutamanya untuk mengenali kaum hawa, pastikan tujuannya adalah untuk berkenalan dan memperisterikan. Kalau dari awal anda sudah memasang niat yang betul, inshaAllah segala urusan itu akan dipermudahkan. 

  1. Serius dan tidak main-main

Wanita di luar sana amat gemarkan lelaki yang punyai hala tuju sebenar dalam perhubungan. Kalau nak kenali wanita, pastikan anda serius tentang masa depan bersamanya. Jangan hanya hendak berkenalan tanpa sebarang tujuan atau bahasa mudahnya dipanggil “test market”. Perkara sia-sia seperti ini perlu dijauhi kerana ia akan menyakiti pihak yang tidak sepatutnya.

  1. Jangan gopoh dan gelojoh

Nak kenal seseorang itu akan mengambil masa, maka jangan tergopoh gapah dalam membuat keputusan untuk mengenali seseorang itu. Sebelum anda mendekati wanita yang digemari, lakukan pemeriksaan latar belakang terlebih dahulu. Zaman teknologi canggih ini, lebih-lebih lagi dengan sosial media yang penuh dengan segala informasi, semua maklumat boleh didapati di hujung jari sahaja. Soal selidik dulu, lihat ahli keluarganya, kawan-kawan, persekitaran yang selalu dikunjungi dan lain-lain. Ingat! Jangan cari bakal isteri anda berdasarkan rupa paras dan fizikal sahaja. Meskipun ia masih penting tetapi dua kriteria ini bukan penjamin kebahagiaan masa depan anda bersamanya.

  1. First impression yang bagus

Nak pergi interview pun perlu berikan “first impression” yang betul, begitu juga apabila anda ingin mendekati seseorang itu. Ini merupakan perkara penting sebelum anda approach si dia. Pastikan anda tampil kemas, bersih dan wangi. Tidak perlu pakai baju berjenama, cukup sekadar dengan pakaian yang sejuk mata memandang. Yang paling penting sekali, kena kemas dan bersih. Wanita ini memang sukakan lelaki yang kemas. Kalau ada wangian, boleh juga disembur untuk menyerlahkan lagi penampilan anda.

  1. Persediaan diri

Niat anda mendekati wanita yang diminati adalah tidak lain tidak bukan untuk memperisterikannya, betul? Jadi perlu ada persediaan untuk masa depan. Tidak perlu berkawan terlalu lama. Tetapkan masa yang bersesuaian untuk kedua-dua belah pihak. Jika si dia turut menunjukkan minat yang sama, maka boleh teruskan ke arah yang lebih serius seperti merisik, pertunangan dan seterusnya pernikahan. Nak jaga anak dara orang ini diibaratkan seperti menantang minyak yang penuh. Maka tunjukkan kesungguhan yang berpanjangan dan bukan sahaja pada permulaan perkenalan.

  1. Manfaatkan sosial media

Wanita ini mereka biasanya juga akan melakukan ‘background check’ tentang anda terlebih dahulu sebelum pergi lebih lanjut. Oleh itu, pastikan sosial media anda sentiasa up to date. Tidak perlu pamerkan segala harta benda atau selfie yang beratus, but just keep it simple. Contohnya anda boleh pamerkan pencapaian seperti menjuarai marathon, pendakian ke puncak gunung, aktiviti beriadah, dan bermacam lagi! Jika laman sosial media anda penuh dengan gambar seperti melepak, merokok dan gaya yang tidak terurus, sudah pasti mereka akan reject anda! Apa-apa pun, jadilah diri anda yang sebenar. Tidak perlu terlalu berlebihan sehingga menarik perhatian yang melampau. Cukup dengan bersahaja, yang penting, setiap posting anda adalah benar dan tidak direka-reka.

  1. Orang tengah

Tip yang ini khas untuk mereka yang pemalu. Jika anda seorang lelaki yang introvert atau sejenis yang tidak berani memulakan perbualan, boleh juga menggunakan khidmat orang tengah. Bukan wanita sahaja yang pemalu, lelaki pun ada yang segan untuk memulakan langkah pertama! Oleh itu, buat anda yang tergolong dalam golongan pemalu ini, boleh cari seseorang yang anda percayai untuk menyampaikan hasrat yang diingini. Tidak salah mencuba, mana tahu si dia betul jodoh anda! 

  1. Doa yang baik-baik

Nak dapatkan jodoh yang baik, kita juga harus menjadi orang yang baik. Dengan itu, perbanyakkan berdoa agar anda dipertemukan dengan pasangan yang beriman, penyejuk hati, saling melengkapi dan bertanggungjawab. Selain daripada itu, anda juga boleh mohon agar Allah SWT memudahkan segala urusan serta melembutkan hati si dia yang anda minati. Jika gerangan tersebut telah ditakdirkan untuk anda, makan tiada orang lain akan memilikinya. Begitu juga dengan sebaliknya, jika sudah tiada jodoh maka tidak akan ada apa yang boleh dilakukan melainkan dengan redha seikhlas hati.

Kesimpulannya disini, beranikan diri untuk mencuba. Berikan satu gambaran yang baik untuk wanita yang ingin anda dekati. Tidak perlu berpura-pura menjadi orang lain. Be yourself and do your best. Ingat, jika cubaan mendekati wanita tersebut tidak berjaya, maka tidak perlu berasa sedih. Teruskan usaha anda dan maju ke hadapan. Wanita itu juga mempunyai hak untuk memilih bakal suaminya seperti mana anda mempunyai hak memilih bakal isteri anda. Always expect rejections. Yang penting sekali, jangan putus asa.

Didoakan semua pembaca blog TillJannah dikurniakan jodoh yang soleh dan solehah. Aamiin.

Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Perhubungan jarak jauh ini bukan sesuatu yang mudah untuk setiap individu. Ada sesetengah pihak yang menganggap ia sebagai perkara yang kecil, namun ada juga yang merasakan ia sesuatu yang sukar untuk dikekalkan. Perlu diketahui bahawa setiap perhubungan yang dibina itu merupakan komitmen yang harus disertai dengan usaha yang berterusan. Jadi bagi anda yang merasakan perhubungan jarak jauh ini sukar, di sini akan kami kongsikan tips bagaimana untuk mengekalkan keserasian dan kebahagiaan bersama pasangan yang tinggal berjauhan dengan anda!

  1. Kepercayaan yang tidak goyah

Jika anda dan pasangan anda saling curiga antara satu sama lain, maka susah untuk dikekalkan perhubungan yang dibina. Cinta harus disemai dengan kepercayaan dan kesetiaan. Curiga itu dibenarkan cumanya perlu dilihat dalam kesesuaian konteks juga. Jangan sampai semua perkara anda nak curiga! Benda ini akan membuatkan pasangan anda merasa jengkel dan seterusnya membuatkan si dia berasa seperti tidak dipercayai.

  1. Komunikasi yang efektif

Ada pasangan yang saling berkomunikasi namun perhubungan mereka masih tidak berjaya. Sebab itu lah komunikasi antara pasangan tidak dinilai dari segi kekerapan sahaja, tetapi harus diteliti juga dari segi efektifnya. Jika anda dan pasangan sedang mengalami konflik, satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan berkomunikasi. Andai anda ada berasa tidak puas hati, maka jangan dipendam perasaan itu. Beritahu pasangan anda tentang perkara tersebut agar ia dapat diselesaikan.

  1. Kejujuran dalam apa jua situasi

Berlaku jujur dalam apa juga keadaan adalah amat penting! Jangan sesekali cuba menyorokkan apa-apa dari pasangan anda kerana perkara ini akan menjadi lebih memudaratkan di masa yang akan datang. Walau pahit macam mana sekali pun, cari satu masa yang sesuai untuk beritahu pasangan anda. Boleh dikatakan semua lelaki dan wanita akan lebih hargai pasangan mereka yang jujur. Tidak mengapa jika anda ada melakukan kesilapan, berterus terang dan mohon maaf jika ia benar-benar datang dari kekurangan diri anda sendiri.

  1. Kerap meluangkan masa bersama

Walaupun anda dan pasangan tidak berada dalam satu tempat yang sama, masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama! Contohnya seperti bermain online game, makan atau membaca al-Qur’an bersama melalui video call, sertai khusus atas talian bersama dan macam-macam lagi. Ini terpulang kepada kreativiti masing-masing, yang penting anda dan pasangan ada meluangkan masa sekali.

  1. Elakkan daripada bersangka buruk

Prasangka ini sangat bahaya. Ia akan mengundang pelbagai situasi yang tidak diingini. Terutamanya bagi kaum wanita, jauhi overthinking! Jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran anda, lebih baik bertanya terus kepada pasangan anda daripada terus menerus memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Jangan terlalu memikirkan perkara yang belum tentu sahih, ia bukan sahaja boleh memudaratkan perhubungan yang dibina malah akan mengganggu kesihatan mental anda.

  1. Cemburu yang berpada-pada

Sifat cemburu itu perlu ada dalam sesuatu perhubungan. Namun, biarlah ia cemburu yang betul. Bukannya cemburu buta yang akan menyusahkan pasangan anda. Contohnya seorang isteri yang terlalu cemburu dengan suaminya yang sedang berurusan kerja. Ini adalah contoh sifat cemburu yang perlu diperbaiki. Jika suami atau isteri anda terlalu sibuk dengan kerja, anda boleh mengutarakan perkara itu kepada mereka. Bincang dengan baik dan elakkan daripada sindir menyindir atau bermasam muka. Perkara ini lebih baik sebelum tercetusnya pergaduhan yang tidak diingini.

  1. Membuat perancangan masa hadapan

Andai kata suami atau isteri anda harus bekerja di tempat jauh, boleh mula buat perancangan masa hadapan bersama. Bukankah cinta itu memerlukan pengorbanan? Mungkin boleh merancang untuk salah satunya berhenti kerja dan ikut pasangan ke tempat yang dihantar. Atau pun boleh juga sediakan tempoh yang sesuai sebelum anda berdua membuat keputusan untuk tinggal bersama. Hala tuju dalam sesuatu perhubungan itu sangat penting.

  1. Berdoa agar sentiasa dipelihara

Doa itu merupakan senjata umat Islam maka jangan sesekali mengambil mudah keistimewaan ini. Selalulah berdoa agar hubungan anda dan pasangan sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang gangguan. Berdoa juga agar anda dan pasangan dikurniakan kemudahan untuk menghadapi apa jua dugaan yang mendatang. Selitkan nama si dia agar hubungan ini kekal sehingga ke Syurga. Hubungan yang diredhai Allah itu tetap akan diuji sebagai tanda sayang Allah kepada hamba-Nya. Cuma jangan sesekali berhenti berharap pada Allah walau apa juga situasi yang melanda.

Tidak Pasti Dengan Perasaan Sendiri? Apa Nak Di Buat?

Tidak Pasti Dengan Perasaan Sendiri? Apa Nak Di Buat?

Mungkin ada di antara pembaca blog TillJannah pernah merasa atau sedang berada dalam situasi seperti ini. Anda dibelenggu dengan kekeliruan atau tidak pasti dengan perasaan yang dirasai. Contohnya seperti anda tidak tahu sama ada si dia adalah pilihan yang terbaik, tidak yakin adakah anda benar mencintai si dia atau hanya sekadar mempunyai perasaan sayang tidak lebih dari seorang kawan. Mungkin tidak semua manusia pernah hadapi situasi sebegini, tetapi bagi anda yang sedang menghadapinya, jangan risau kerana di sini akan kami berikan cadangan yang bernas untuk menyelesaikan kekeliruan tersebut.

  1. Solat istikharah

Solat istikharah ini tidak dikhususkan untuk mereka yang ingin memilih pasangan hidup sahaja, tetapi ia berguna untuk pelbagai keadaan dan salah satunya ialah situasi seperti kekeliruan dalam mencari jawapan. 

Anda disarankan untuk memohon petunjuk daripada Allah meskipun ia dianggap sebagai urusan yang kecil. Mohonlah agar hati anda diberi bimbingan dan hala tuju ke arah yang sebetulnya. Namun perlu difahami juga yang petunjuk solat istikharah ini tidak semestinya hadir dalam bentuk mimpi sahaja. Ia boleh datang dengan pelbagai cara seperti mendapat ketenangan, dipermudahkan urusan dan lain-lain.

  1. Doa yang berterusan

Usaha dalam bentuk doa juga sangat penting. Doa itu ibarat perantaraan manusia bersama Tuhannya. Ada kalanya kita sudah puas berdoa namun masih rasa seperti doa kita tidak didengari, betul tak? Sebenarnya setiap doa itu sentiasa didengari oleh Allah, cuma jawapannya kadang kala tidak akan hadir seperti yang kita mahukan. 

Jika anda inginkan jawapan, maka mohon pada Allah agar diberikan petunjuk yang terbaik dan diberikan kemudahan dalam membuat keputusan. Yang penting sekali, jangan pernah berputus asa dalam berdoa!

  1. Bertanya untuk kepastian

Mungkin ini adalah cadangan yang paling ‘direct’ sekali untuk mendapatkan kepastian tentang perasaan anda. Jika anda berani, boleh cuba berterus terang dengan si dia. Luahkan isi hati yang terbuku agar si dia mengerti kekeliruan yang sedang anda hadapi. Pepatah ada mengatakan yang “Malu bertanya, sesat jalan”. Oleh itu, ambil peluang dengan berbincang secara direct agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan pada masa yang akan datang.

  1. Menjaga batas pergaulan

Batas pergaulan antara yang bukan mahram harus dititikberatkan. Selagi masih tidak halal buat anda, maka jangan sesekali melebihi batas yang telah syariat tetapkan. Oleh itu, dalam berkawan juga harus berhati-hati. Jangan terlalu mudah memberi hati anda kepada lelaki atau wanita yang belum tentu menjadi pasangan hidup anda. Jika anda masih tidak pasti dengan perasaan sendiri, maka sebolehnya berkawan biasa sahaja. Kekalkan momentum sebegini sehinggalah anda sudah yakin dengan perhubungan yang dibina.

  1. Istisyarah

Istisyarah itu bermaksud bertanya pendapat orang lain. Anda digalakkan untuk bertanya dengan orang yang rapat seperti ibu bapa, adik-beradik, atau kawan baik. Ada sesetengah pihak yang segan ingin meluahkan dengan orang yang dikenali, maka dengan itu anda disarankan untuk berjumpa dengan orang yang berpengalaman seperti ustaz/ustazah atau kaunselor. InshaAllah dengan bantuan mereka yang pakar ini juga dapat meringankan beban yang dihadapi.

Akhir kata, didoakan agar anda yang sedang berada dalam situasi ini diberikan kelapangan dada dan kemudahan untuk mencari jawapan. Jangan berputus asa dan teruskan berusaha kerana setiap masalah itu pasti ada jalannya!