Kisah Cinta Bertemu Jodoh di Tilljannah.my

Nazarudin & Ameera

Bismillahirrahmanirrahim. Junjungan mulia buat Nabi Muhammad S.A.W.

Ameera adalah nama yang diberikan oleh ibu semenjak hari pertama saya hadir di dunia ini. Setelah tamat belajar, saya telah bekerja dalam bidang undang-undang di Negeri Sembilan. Saya telah melakukan beberapa percubaan untuk bertaaruf dan/atau berkenalan secara fizikal dengan beberapa orang calon. Namun, kesemuanya tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Disebabkan patah hati dan hampir berputus asa untuk meneruskan perkenalan secara fizikal, saya nekad untuk mendaftarkan diri di Portal TillJannah.my sebagai salah satu ikhtiar dan usaha saya untuk mencari calon suami. Dorongan turut diberikan oleh Ibu saya meskipun umur saya masih muda. Saya mendapat tahu mengenai Portal TillJannah.my ini daripada pengalaman saudara-mara saya yang turut berjodoh dengan kenalan atas talian. Sepanjang bertaaruf melalui chat dengan beberapa orang calon, saya tidak berasa tertarik dan/atau teruja apabila melihat mesej mereka. Saya percaya ada hikmah atas segalanya.

Pada 16.9.2021, seorang lelaki yang telah memperkenalkan dirinya sebagai Nazarudin telah memulakan langkah berani untuk menyapa saya. Cara beliau memperkenalkan dirinya dengan rendah diri dan menceritakan kisah hidupnya yang sederhana membuatkan saya tertarik dengannya. Beliau turut memaklumkan bahawa beliau agak trauma dengan perkenalannya dengan seseorang suatu ketika dahulu. Beliau juga tidak segan silu untuk bertanyakan kepada saya berkenaan rutin harian, kisah kehidupan dan seumpamanya hampir setiap hari. Saya adalah seorang yang suka berseloroh dengan memberikan ribuan teka-teki kepada calon-calon yang bertaaruf dengan saya. Dengan cara ini, saya ingin melihat tahap kesabaran dan kecekalan calon-calon untuk berdepan dengan sikap kebudak-budakan saya. Apa yang membuatkan saya kagum dengan beliau dan rasa ingin lebih mengenali hati budinya adalah cara beliau membalas mesej-mesej saya hampir setiap hari tanpa rasa bosan atau marah. Hari demi hari, beliau mengumpulkan kekuatannya untuk bertemu dengan saya di ibu kota dan kemudiannya menyampaikan hasratnya untuk ke arah yang lebih serius. Semenjak dari awal pendaftaran dibuat, niat kami adalah sama, untuk mencari keredhaan Allah melalui penyatuan dua hati dan dengan izin-Nya berusaha mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah, rahmah dan mawaddah.

Genap dua bulan perkenalan, beliau datang ke rumah untuk bertemu dengan bapa saya. Beliau mengotakan janjinya dengan memohon restu daripada kedua ibu bapa saya dan berterus-terang menyampaikan hasrat untuk ke arah perkahwinan. Saya turut dibawa berjumpa dengan keluarganya untuk memohon restu yang mana saya disambut dengan gembira oleh ibu bapanya. Pada 22.5.2022, majlis merisik iaitu adat Melayu yang diterapkan sejak sekian lama telah berlangsung yang mana tarikh pertunangan telah ditetapkan pada 17.9.2022. Sepanjang pertunangan, meskipun pelbagai dugaan dan rintangan yang kami hadapi, Alhamdulillah dan dengan izin Allah, dapat diharungi bersama-sama melalui doa, usaha dan tawakkal kepada Allah.

Tiada yang lebih besar atau maha hebat daripada kekuasaan Allah yang telah menyatukan kami pada 3.3.2023 di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban. Majlis pernikahan yang dibuat secara sederhana telah berjalan dengan lancar dan kami percaya akan menjadi suatu kayu ukur untuk hati kami bertaut dengan lebih erat serta utuh hingga ke akhir hayat.

Buat mereka yang masih belum menyertai atau masih ragu-ragu untuk menyertai TillJannah.my meskipun pelbagai medium perkenalan telah diusahakan, kami mempunyai sedikit pesanan yang ingin disampaikan. Pertama, sentiasa niatkan di dalam hati yang pencarian jodoh ini bukan sekadar untuk memuaskan nafsu serakah sahaja. Pencarian yang dibuat haruslah berlandaskan Islam dan tertumpu untuk mengejar keredhaan Allah SWT semata-mata. Kedua, perkenalan atau taaruf itu tidak salah. Salah satu cara atau ikhtiar kita sebagai hamba-Nya adalah melalui medium ini. Kami bersyukur bahawa terdapat pihak seperti TillJannah.my ini ingin mengusahakan sesuatu yang mulia iaitu menyatukan hati-hati ke jalan Allah, meskipun pihak TillJannah.my tidak mendapat apa-apa pulangan kewangan demi melihat kebahagiaan calon-calonnya. Ketiga, jangan pernah meragui jalan yang Allah tetapkan buat hamba-Nya. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Setiap pertemuan dan perpisahan pasti ada hikmahnya yang terkadang kita sedar atau tidak sedar.

Pesanan atau tips daripada kami kepada ahli TillJannah.my yang masih belum menemukan jodoh di TillJannah.my adalah jangan pernah berputus asa dengan usaha dan ikhtiar yang dibuat. Sekiranya diri anda terasa lemah dan berputus harap, kembali tetapkan tujuan utama anda dalam pencarian jodoh melalui portal ini. Reset your goals and never look back! Be brave to endure the obstacles as you will later enjoy the fruit of success.

Doakan perjalanan kami sebagai suami dan isteri akhir zaman yang berjaya di dunia dan akhirat. Mohon doa buat kebahagiaan keluarga kami sehingga kami boleh memilih mana-mana pintu syurga yang ingin kami masuki. Berkati kami dengan zuriat yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kami apabila kami pergi menghadap Ilahi agar kami dapat terselamat dari azab Allah SWT.

Yang benar,
#nazamtiedtheknot
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni

Syarat penyertaan : Muslim Warganegara Malaysia berusia 20 tahun ke atas bagi lelaki, 18 tahun ke atas bagi wanita, status perkahwinan semasa hendaklah bujang, duda atau janda sahaja dan SERIUS dalam mencari jodoh.


👇🏼 Join telegram kami 👇🏼
t.me/TillJannahPortalJodoh