Permulaan kehidupan seseorang itu bermula apabila mereka lahir ke dunia ini dan diajarkan cara berjalan dan bercakap oleh ibu bapa atau penjaga. Seorang bayi yang dilahirkan telah pun ditentukan segala aturan hidupnya oleh Allah SWT sejak di Luh Mahfuz lagi. Jadi persoalannya disini, perlukah perancangan hidup sekiranya semua perkara dan takdir telah ditentukan oleh Tuhan?

Jawapannya…. YA! Perancangan hidup itu penting dan wajib dititik beratkan oleh setiap manusia. Pernahkah anda mendengar kata-kata seperti,

Seseorang yang gagal merancang, adalah orang yang merancang untuk gagal.” (William J. Siegel)

Meskipun takdir kita telah ditentukan oleh Tuhan, perlu juga kita ingati bahawa takdir menurut Islam terbahagi kepada dua. Menurut Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias, terdapat dua jenis takdir mengikut pandangan ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah yang dinamakan Takdir Mubram dan Takdir Mu’allaq. 

  1. Takdir Mubram

Taqdir Mubram adalah telah tertulis di Luh Mahfuz dan bersifat muktamad. Ia adalah ketentuan Allah SWT yang pasti berlaku dan tidak dapat ditangguh mahupun dihalang oleh apa-apa sekali pun. Kehidupan dan kematian sebagai contohnya.

  1. Takdir Mu’allaq

Perkataan Mu’allaq bermaksud ‘tergantung’. Takdir Mu’allaq merupakan sebuah takdir yang telah tertulis, namun bersifat tetap dan boleh berubah mengikut kehendak Allah SWT berdasarkan usaha yang dikeluarkan oleh hamba-Nya. Ia berkemungkinan untuk tidak berlaku bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya seperti jodoh. Meskipun Tuhan telah menentukan jodoh seseorang itu sebelum beliau dilahirkan, namun menurut sabda Rasulullah SAW, doa itu mampu mengubah takdir sebegini.

Tidak boleh ditolak ketetapan Allah SWT melainkan doa.” 

(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)

Maka, sebagai umat Islam, anda disarankan untuk mementingkan perancangan masa hadapan walaupun ketentuan takdir itu hanya Allah SWT sahaja yang boleh menentukan. Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan umatnya untuk memanjatkan hajat kepada Tuhan meskipun hajat yang diingini tersebut kelihatan tidak masuk akal. 

Sebagai seorang khalifah di muka bumi, anda harus merancang kehidupan yang sementara ini dengan sebaiknya bermula dari peringkat muda bagi menjamin kebaikan untuk kehidupan di Akhirat kelak. Pastikan anda mempunyai matlamat hidup yang jelas untuk dicapai. Letakkan usaha serta doa itu yang utama dan selebihnya bertawakal lah kepada Allah SWT. Doa merupakan senjata umat Islam yang paling kuat, maka janganlah mensia-siakan peluang yang diberikan.