Sunnah Nabi Muhammad SAW Ketika Berdoa

Adakalanya kita merasakan seolah-olah doa kita tidak didengari Tuhan. Kita sudah memanjat doa sebanyak yang mungkin tetapi masih ‘tidak termakbul’. Ada yang diantara kita merasa penat dan akhirnya berputus asa dengan doa. Sebenarnya… doa yang anda panjatkan sentiasa didengari oleh Tuhan! Janganlah anda berputus asa kerana setiap doa yang dibaca akan dijawab melalui tiga cara. 

Cara yang pertama ialah apabila Tuhan memakbulkannya seperti mana yang anda mahukan. Yang kedua, permintaan tersebut ditangguhkan mengikut waktu yang lebih sesuai. Dan akhir sekali, doa tersebut digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik untuk anda. Setiap perkara yang berlaku itu pasti akan ada hikmah disebaliknya. Seringkali ia akan hadir tanpa anda sedari! 

Oleh itu, jangan khuatiri kerana setiap doa itu tidak pernah dilupakan oleh Tuhan. Apa yang perlu kita fahami, dalam memohon doa itu juga mempunyai adab yang harus kita patuhi. InshaAllah dengan mengikuti Sunnah Nabi SAW serta adab dalam berdoa ini, permintaan kita akan lebih termakbul. 

  1. Memuji Allah SWT 

Perkara pertama yang perlu dititikberatkan sewaktu berdoa ialah memuji kebesaran Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita harus fahami 99 nama Allah SWT yang juga dipanggil Asma ul-Husna. Sifat-sifat Allah SWT seperti Ar-Rahim, Ar-Rahman, Al-Malik, Ar-Razzaq dan Al-Ghafur adalah antara contoh yang seringkali dimasukkan dalam doa-doa seorang mukmin. Sekiranya anda ingin memohon limpahan rezeki, maka perbanyakkanlah menyebut Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki). Namun pujian ke atas Allah SWT dalam doa itu tidak perlu diterhadkan. Lagi banyak pujian yang dipanjatkan, semakin baik dan berkualiti doa tersebut.

  1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW

Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid RA berkata; Nabi SAW mendengar seseorang berdoa dalam solatnya dan tidak mengucapkan selawat kepada Nabi SAW, kemudian Nabi SAW bersabda: “Orang ini telah tergesa-gesa.” Kemudian Baginda SAW memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada orang lain: “Apabila salah seorang di antara kamu bersolat, maka hendaklah dia memulai (doanya) dengan memuji Allah SWT, kemudian berselawat kepada Nabi SAW, kemudian berdoa setelah itu dengan doa yang dia kehendaki.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi, No: 3477, Abu Dawud, No: 1481, an-Nasaie, No: 1284, Ahmad, No: 22811).

  1. Berwudhu’ atau di dalam keadaan suci dan bersih

Antara sifat seseorang manusia yang digemari Allah SWT ialah mereka yang sentiasa berada di dalam keadaan suci dan bersih. Rasulullah SAW merupakan antara hamba Allah yang sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’. Menurut sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi SAW itu membiasakan dirinya untuk berwudhu’ terlebih dahulu sebelum memanjatkan doa. Perkara ini juga merupakan Sunnah yang amat digalakkan serta mudah diikuti. 

  1. Menghadap qiblat

Antara Sunnah Nabi Muhammad SAW ketika berdoa ialah baginda seringkali menghadap qiblat lalu mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk memanjatkan hajat kepada Allah SWT. 

  1. Berdoa dengan penuh yakin

Sebagai seorang Muslim, setiap kali kita berdoa, perlu ditetapkan di dalam hati bahawa doa kita itu pasti akan dimakbulkan. Perlu yakini di dalam hati bahawa Tuhan akan memakbulkannya seperti yang diinginkan. 

Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda”: “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan)…” (Hadis Riwayat Anas R. A.) 

  1. Memohon sebanyak tiga kali

Seperti dalam sesetengah bacaan solat kita, kita digalakkan untuk mengulanginya sebanyak tiga kali. Begitu juga dengan doa, apabila Baginda SAW berdoa, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: 

“Abdullah Bin Mas’ud berkata: Baginda Rasulullah s.a.w. jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Rujukan: 

Koleksi Hadith oleh JAKIM – http://www.islam.gov.my/e-hadith/1561-adab-ketika-berdoa

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial
%d bloggers like this: