Doa itu boleh dipanjatkan pada bila-bila masa sahaja. Sewaktu anda sedang menunggu lampu isyarat, ketika berjalan ke kuliah, semasa memasak dan pada bila-bila saja tanpa mengira waktu! Namun, menurut ajaran Rasulullah SAW, ada beberapa waktu dan masa yang dikatakan mustajab dan amat digalakkan untuk berdoa ketika itu. Berikut disertakan beberapa waktu mustajab yang boleh dijadikan panduan untuk anda memanjatkan doa.

  1. Ketika hujan turun

Sewaktu hujan membasahi bumi, anda digalakkan untuk berdoa kerana hujan itu dianggap sebagai rahmat. Gunakan kesempatan ini disaat limpahan rahmat turun ke bumi dengan berdoa penuh yakin. Menurut Imam An-Nawawi, sesungguhnya doa ketika hujan itu tidak ditolak dan jarang ditolak Allah SWT.

  1. Antara azan dan iqamah

Menurut sebuah hadis Nabi SAW, riwayat Al-Tirmizi, “Tidaklah ditolak doa diantara Azan dan Iqamah”.

  1. Selepas solat fardhu

“Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardhu.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi).

  1. Hari Jumaat

Tahukah anda, ada beberapa waktu pada hari Jumaat yang mustajab untuk berdoa? Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, 

“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Antara waktu-waktu mustajab pada hari Jumaat boleh dirujuk di sini (laman web rasmi Pejabat Mufti WPKL).

  1. Sepertiga akhir malam

“Sesungguhnya pada satu malam ada satu waktu, tidaklah seorang muslim itu memohon kepada Allah akan sesuatu kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah SWT akan memperkenankannya. Demikian itu berlaku pada setiap malam.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

  1. Sewaktu berpuasa

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Imam Ibn Majah).

Rujukan: 

Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – Irsyad Al-Hadith di https://muftiwp.gov.my/component/tags/tag/irsyad-al-hadith