Tidak semua manusia dikurniakan tahap kesabaran yang tinggi seperti seorang Nabi. Lebih-lebih lagi dengan mereka yang terlalu banyak karenah sehingga ada yang berasa penat dan meluat untuk melayan perangai manusia sebegini. Tetapi, selepasnya berkahwin, di sinilah kita akan mengenali pasangan kita dengan lebih rapat. Kita akan melihat dirinya dari segi semua aspek termasuk baik dan buruknya. Walau ada perangai buruknya yang tidak kita gemari, perlulah kita belajar untuk menerima kekurangannya. 

Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna, begitu juga dengan anda. Pasti ada juga sifat dan perangai anda yang tidak disukai oleh pasangan. Maka apabila melayari bahtera perkahwinan, perlulah kita belajar untuk bertoleransi dengan kekurangan pasangan kita. Sekiranya perangai mereka terlalu teruk untuk diterima, seperti sifat pengotor atau pemalas, mungkin cara yang terbaik ialah dengan duduk berdua dan bincang dari hati ke hati. Cuba selami dan fahami antara satu sama lain bagi mengelakkan permasalahan di hari yang akan datang. Bagaimana pula dengan sifat atau perangai lain yang tetap menguji kesabaran anda? Apa yang patut anda lakukan? Mari kita baca dan teliti tips berikut, bagaimana cara untuk kekal bersabar dengan pasangan!

  1. Jangan terlalu cepat ambil hati

Jika pasangan yang anda kahwini seorang yang suka mengusik atau melakukan sesuatu yang menjengkelkan hati anda, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah dengan tidak mengambil hati dengan mudah. Adakalanya pasangan kita hanya ingin bergurau senda dengan pasangannya, tiada niat ingin mengecilkan hati. Jika anda tahu si dia seorang yang suka berjenaka, selagi tidak melampaui batas, tidak perlu mengambil hati. Anggap sahaja itu cara suami atau isteri anda untuk merapatkan hubungan bersama. 

  1. Hargai pasangan anda

Apabila berlakunya ketegangan antara anda dan pasangan, kembalilah mengingati kenangan di saat susah senang bersama pasangan. Cuba ingat semula pengorbanan si dia sewaktu awal-awal perkahwinan atau di saat sang isteri melahirkan anak. Dengan ini, anda akan lebih menghargai antara satu sama lain dan tidak mudah berkecil hati dengan perkara remeh-temeh.

  1. Tidak mengungkit kisah lalu

Perhubungan yang sihat ialah apabila kedua-dua pasangan tidak mengungkit kisah-kisah lalu yang boleh menimbulkan kemarahan, kesedihan atau ketegangan. Walau marah macam mana sekali pun, jangan sesekali anda mengungkit perkara yang lalu! Tiada siapa yang suka apabila dirinya dipertikaikan atau dikaitkan dengan kesilapan yang lama. Belajarlah untuk menyelesaikan masalah dengan matang dan tenang. 

  1. Bertolak ansur

Tolak ansur merupakan salah satu elemen penting dalam sesuatu perhubungan. Jika anda tidak boleh menerima kekurangan pasangan, anda disarankan lebih baik untuk kekal bujang. Ini kerana sesebuah perkahwinan itu dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan tolak ansur antara satu sama lain. Sekiranya anda mengharapkan si dia untuk menjadi seorang yang sempurna, maka anda tidak akan berpuas hati walau berkahwin dengan anak raja sekali pun! Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna. Kesempurnaan itu hanya milik Tuhan. Oleh itu, belajarlah untuk bertolak ansur antara satu sama lain.