Adakala kita merasa sangat dekat dengan-Nya. Adakalanya kita merasa sangat jauh daripada-Nya. Dengan rasa jauh ini, kita dipalit dengan pelbagai perasaan yang merindukan kasih dari-Nya. Kadang-kadang kita merasakan seolah-olah Tuhan tidak menyayangi kita walau sudah berusaha dan berdoa sebanyak yang mungkin. Kita mempersoalkan takdir kerana tidak mampu menanggung beban serta ujian yang diberi. 

Akan tetapi, pernahkah kita cuba untuk memuhasabah diri dengan memikirkan hikmah yang akan hadir disebalik setiap perkara yang berlaku? Bukankah Nabi Muhammad SAW itu antara manusia yang paling banyak diuji oleh Allah SWT? Adakah ini bermakna Tuhan tidak menyayangi Baginda SAW? Sudah tentu tidak! Disebalik setiap ujian yang hadir dalam kehidupan Rasulullah SAW, Allah SWT telah berjanji dua kali dalam Surah Al-Inshirah, ayat 5 dan 6:

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” dan “Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Setiap ujian yang hadir, akan dihadirkan juga kemudahan. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menguji mana-mana hamba-Nya melainkan dia mampu untuk menanggungnya. Lihat sahaja perjuangan para Nabi dan sahabat-sahabat. Walau mereka diuji dengan kesusahan, Allah SWT tetap bersama mereka. Jadi apakah tanda-tanda yang menunjukkan Tuhan itu sebenarnya sayang pada hamba-Nya?

  1. Diselubungi dengan kesedihan

Pernahkah anda merasa sedih secara tiba-tiba? Rasa kekosongan mula meresap ke dalam hati tanpa mengetahui puncanya? Rasa hiba tetapi tidak tahu apakah perkara yang menyedihkan anda. Sebenarnya, rasa sedih yang menyelubungi hati anda ini dihadirkan Allah SWT untuk mendekatkan anda semula kepada-Nya. Dengan kesedihan inilah yang akan membuat anda untuk kembali memanggil dan menyebut nama-Nya untuk melegakan keresahan hati. 

  1. Diberikan kesakitan

Tahukah anda, dengan hadirnya kesakitan ini, dosa anda juga akan berkurangan? Tuhan memberikan peluang buat anda untuk berehat dan melebihkan masa untuk beramal solih. Bagaimana anda dapat beramal solih sewaktu sakit? Mudah saja, dengan memperbanyakkan zikir, doa, bacaan al-Qur’an dan solat-solat sunat. Sewaktu sihat, kita banyak melebihkan masa untuk urusan dunia seperti komitmen kerja dan rumah tangga atau keluarga, maka masa bersama Allah SWT juga berkurangan. Jadi gunakan kesempatan sewaktu sakit ini untuk memohon keampunan dan kesembuhan daripada-Nya. Hikmah disebalik kesakitan ini dapat dilihat bahawa Tuhan ingin mengembalikan anda dekat kepada-Nya. 

  1. Dihadirkan dengan kesusahan

Adakalanya kita merasa sangat susah untuk menghadapi banyak situasi dalam kehidupan harian. Tiba-tiba sahaja diberhentikan kerja, diuji dengan kemalangan, dihadirkan dengan berita buruk dan macam-macam lagi. Apabila hadirnya kesusahan sebegini, hati kita akan mula redha dengan ketentuan-Nya. Apabila kita redha, maka hati kita juga akan menjadi lebih tenang kerana kita yakin bahawa Allah SWT itu sentiasa bersama hamba-hambaNya.  

  1. Diuji dengan kehilangan

Tidak dinafikan bahawa kehilangan seseorang atau sesuatu yang disayangi itu amat sukar untuk ditanggung. Dengan kehilangan ini, anda akan memohon ketabahan daripada Tuhan untuk melegakan hati. Kadang-kadang dengan kehilangan ini, ia akan mambawa kita lebih dekat pada Allah SWT.