Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Perhubungan jarak jauh ini bukan sesuatu yang mudah untuk setiap individu. Ada sesetengah pihak yang menganggap ia sebagai perkara yang kecil, namun ada juga yang merasakan ia sesuatu yang sukar untuk dikekalkan. Perlu diketahui bahawa setiap perhubungan yang dibina itu merupakan komitmen yang harus disertai dengan usaha yang berterusan. Jadi bagi anda yang merasakan perhubungan jarak jauh ini sukar, di sini akan kami kongsikan tips bagaimana untuk mengekalkan keserasian dan kebahagiaan bersama pasangan yang tinggal berjauhan dengan anda!

  1. Kepercayaan yang tidak goyah

Jika anda dan pasangan anda saling curiga antara satu sama lain, maka susah untuk dikekalkan perhubungan yang dibina. Cinta harus disemai dengan kepercayaan dan kesetiaan. Curiga itu dibenarkan cumanya perlu dilihat dalam kesesuaian konteks juga. Jangan sampai semua perkara anda nak curiga! Benda ini akan membuatkan pasangan anda merasa jengkel dan seterusnya membuatkan si dia berasa seperti tidak dipercayai.

  1. Komunikasi yang efektif

Ada pasangan yang saling berkomunikasi namun perhubungan mereka masih tidak berjaya. Sebab itu lah komunikasi antara pasangan tidak dinilai dari segi kekerapan sahaja, tetapi harus diteliti juga dari segi efektifnya. Jika anda dan pasangan sedang mengalami konflik, satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan berkomunikasi. Andai anda ada berasa tidak puas hati, maka jangan dipendam perasaan itu. Beritahu pasangan anda tentang perkara tersebut agar ia dapat diselesaikan.

  1. Kejujuran dalam apa jua situasi

Berlaku jujur dalam apa juga keadaan adalah amat penting! Jangan sesekali cuba menyorokkan apa-apa dari pasangan anda kerana perkara ini akan menjadi lebih memudaratkan di masa yang akan datang. Walau pahit macam mana sekali pun, cari satu masa yang sesuai untuk beritahu pasangan anda. Boleh dikatakan semua lelaki dan wanita akan lebih hargai pasangan mereka yang jujur. Tidak mengapa jika anda ada melakukan kesilapan, berterus terang dan mohon maaf jika ia benar-benar datang dari kekurangan diri anda sendiri.

  1. Kerap meluangkan masa bersama

Walaupun anda dan pasangan tidak berada dalam satu tempat yang sama, masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama! Contohnya seperti bermain online game, makan atau membaca al-Qur’an bersama melalui video call, sertai khusus atas talian bersama dan macam-macam lagi. Ini terpulang kepada kreativiti masing-masing, yang penting anda dan pasangan ada meluangkan masa sekali.

  1. Elakkan daripada bersangka buruk

Prasangka ini sangat bahaya. Ia akan mengundang pelbagai situasi yang tidak diingini. Terutamanya bagi kaum wanita, jauhi overthinking! Jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran anda, lebih baik bertanya terus kepada pasangan anda daripada terus menerus memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Jangan terlalu memikirkan perkara yang belum tentu sahih, ia bukan sahaja boleh memudaratkan perhubungan yang dibina malah akan mengganggu kesihatan mental anda.

  1. Cemburu yang berpada-pada

Sifat cemburu itu perlu ada dalam sesuatu perhubungan. Namun, biarlah ia cemburu yang betul. Bukannya cemburu buta yang akan menyusahkan pasangan anda. Contohnya seorang isteri yang terlalu cemburu dengan suaminya yang sedang berurusan kerja. Ini adalah contoh sifat cemburu yang perlu diperbaiki. Jika suami atau isteri anda terlalu sibuk dengan kerja, anda boleh mengutarakan perkara itu kepada mereka. Bincang dengan baik dan elakkan daripada sindir menyindir atau bermasam muka. Perkara ini lebih baik sebelum tercetusnya pergaduhan yang tidak diingini.

  1. Membuat perancangan masa hadapan

Andai kata suami atau isteri anda harus bekerja di tempat jauh, boleh mula buat perancangan masa hadapan bersama. Bukankah cinta itu memerlukan pengorbanan? Mungkin boleh merancang untuk salah satunya berhenti kerja dan ikut pasangan ke tempat yang dihantar. Atau pun boleh juga sediakan tempoh yang sesuai sebelum anda berdua membuat keputusan untuk tinggal bersama. Hala tuju dalam sesuatu perhubungan itu sangat penting.

  1. Berdoa agar sentiasa dipelihara

Doa itu merupakan senjata umat Islam maka jangan sesekali mengambil mudah keistimewaan ini. Selalulah berdoa agar hubungan anda dan pasangan sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang gangguan. Berdoa juga agar anda dan pasangan dikurniakan kemudahan untuk menghadapi apa jua dugaan yang mendatang. Selitkan nama si dia agar hubungan ini kekal sehingga ke Syurga. Hubungan yang diredhai Allah itu tetap akan diuji sebagai tanda sayang Allah kepada hamba-Nya. Cuma jangan sesekali berhenti berharap pada Allah walau apa juga situasi yang melanda.

About the author

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial
%d bloggers like this: