Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Perhubungan jarak jauh ini bukan sesuatu yang mudah untuk setiap individu. Ada sesetengah pihak yang menganggap ia sebagai perkara yang kecil, namun ada juga yang merasakan ia sesuatu yang sukar untuk dikekalkan. Perlu diketahui bahawa setiap perhubungan yang dibina itu merupakan komitmen yang harus disertai dengan usaha yang berterusan. Jadi bagi anda yang merasakan perhubungan jarak jauh ini sukar, di sini akan kami kongsikan tips bagaimana untuk mengekalkan keserasian dan kebahagiaan bersama pasangan yang tinggal berjauhan dengan anda!

  1. Kepercayaan yang tidak goyah

Jika anda dan pasangan anda saling curiga antara satu sama lain, maka susah untuk dikekalkan perhubungan yang dibina. Cinta harus disemai dengan kepercayaan dan kesetiaan. Curiga itu dibenarkan cumanya perlu dilihat dalam kesesuaian konteks juga. Jangan sampai semua perkara anda nak curiga! Benda ini akan membuatkan pasangan anda merasa jengkel dan seterusnya membuatkan si dia berasa seperti tidak dipercayai.

  1. Komunikasi yang efektif

Ada pasangan yang saling berkomunikasi namun perhubungan mereka masih tidak berjaya. Sebab itu lah komunikasi antara pasangan tidak dinilai dari segi kekerapan sahaja, tetapi harus diteliti juga dari segi efektifnya. Jika anda dan pasangan sedang mengalami konflik, satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan berkomunikasi. Andai anda ada berasa tidak puas hati, maka jangan dipendam perasaan itu. Beritahu pasangan anda tentang perkara tersebut agar ia dapat diselesaikan.

  1. Kejujuran dalam apa jua situasi

Berlaku jujur dalam apa juga keadaan adalah amat penting! Jangan sesekali cuba menyorokkan apa-apa dari pasangan anda kerana perkara ini akan menjadi lebih memudaratkan di masa yang akan datang. Walau pahit macam mana sekali pun, cari satu masa yang sesuai untuk beritahu pasangan anda. Boleh dikatakan semua lelaki dan wanita akan lebih hargai pasangan mereka yang jujur. Tidak mengapa jika anda ada melakukan kesilapan, berterus terang dan mohon maaf jika ia benar-benar datang dari kekurangan diri anda sendiri.

  1. Kerap meluangkan masa bersama

Walaupun anda dan pasangan tidak berada dalam satu tempat yang sama, masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama! Contohnya seperti bermain online game, makan atau membaca al-Qur’an bersama melalui video call, sertai khusus atas talian bersama dan macam-macam lagi. Ini terpulang kepada kreativiti masing-masing, yang penting anda dan pasangan ada meluangkan masa sekali.

  1. Elakkan daripada bersangka buruk

Prasangka ini sangat bahaya. Ia akan mengundang pelbagai situasi yang tidak diingini. Terutamanya bagi kaum wanita, jauhi overthinking! Jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran anda, lebih baik bertanya terus kepada pasangan anda daripada terus menerus memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Jangan terlalu memikirkan perkara yang belum tentu sahih, ia bukan sahaja boleh memudaratkan perhubungan yang dibina malah akan mengganggu kesihatan mental anda.

  1. Cemburu yang berpada-pada

Sifat cemburu itu perlu ada dalam sesuatu perhubungan. Namun, biarlah ia cemburu yang betul. Bukannya cemburu buta yang akan menyusahkan pasangan anda. Contohnya seorang isteri yang terlalu cemburu dengan suaminya yang sedang berurusan kerja. Ini adalah contoh sifat cemburu yang perlu diperbaiki. Jika suami atau isteri anda terlalu sibuk dengan kerja, anda boleh mengutarakan perkara itu kepada mereka. Bincang dengan baik dan elakkan daripada sindir menyindir atau bermasam muka. Perkara ini lebih baik sebelum tercetusnya pergaduhan yang tidak diingini.

  1. Membuat perancangan masa hadapan

Andai kata suami atau isteri anda harus bekerja di tempat jauh, boleh mula buat perancangan masa hadapan bersama. Bukankah cinta itu memerlukan pengorbanan? Mungkin boleh merancang untuk salah satunya berhenti kerja dan ikut pasangan ke tempat yang dihantar. Atau pun boleh juga sediakan tempoh yang sesuai sebelum anda berdua membuat keputusan untuk tinggal bersama. Hala tuju dalam sesuatu perhubungan itu sangat penting.

  1. Berdoa agar sentiasa dipelihara

Doa itu merupakan senjata umat Islam maka jangan sesekali mengambil mudah keistimewaan ini. Selalulah berdoa agar hubungan anda dan pasangan sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang gangguan. Berdoa juga agar anda dan pasangan dikurniakan kemudahan untuk menghadapi apa jua dugaan yang mendatang. Selitkan nama si dia agar hubungan ini kekal sehingga ke Syurga. Hubungan yang diredhai Allah itu tetap akan diuji sebagai tanda sayang Allah kepada hamba-Nya. Cuma jangan sesekali berhenti berharap pada Allah walau apa juga situasi yang melanda.

Seronok Ke Kahwin?

Seronok Ke Kahwin?

Mungkin ada yang di antara pembaca kami terfikir “Seronok ke kahwin ni?” atau “Susah ke kahwin ni?”. Jawapannya akan berbeza mengikut pengalaman orang-orang yang sudah atau pernah berkahwin. Akan ada yang menyatakan kehidupan  berkahwin ini sungguh indah dan mungkin ada yang menyatakan kehidupan sebelum berkahwin itu lebih seronok. Jawapannya akan bergantung kepada orang yang disoal oleh kerana topiknya yang bersifat subjektif. 

Tetapi fokus kami pada hari ini ialah untuk menceritakan kepada anda tentang manfaat-manfaat yang akan anda dapat dalam perkahwinan!

  1. Teman berdamping

Apabila anda berkahwin, anda akan mempunyai seorang teman berdamping di saat gembira dan duka! Anda boleh bercerita dan berkongsi tentang apa-apa sahaja tak kira masa dan waktu. Si dia akan ada menemani anda di saat susah dan senang. 

  1. Pendengar luahan hati

Antara perkara yang paling seronok apabila sudah berkahwin ialah anda akan mempunyai pendengar yang setia. Anda boleh mengadu tentang hari anda dan si dia akan setia sahaja mendengar. Jika pasangan anda sejenis yang pendiam, anda lah yang harus menceriakan rumahtangga tersebut dengan cerita-cerita atau celoteh yang boleh mencuit hati pasangan.

  1. Ganjaran pahala yang mudah

Tahukah anda bahawa perkahwinan ini merupakan salah satu ibadah yang mudah untuk mendapatkan pahala! Anda senyum manis ke suami mahupun isteri dan membuat pasangan anda gembira pun sudah mendapat ganjaran pahala. Selagi rumahtangga yang dibina itu atas dasar cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, inshaAllah alam perkahwinan anda akan diberkati dan berkekalan sehingga ke syurga.

  1. Senang masuk syurga

Betul ke kalau berkahwin ini mudah masuk syurga? Jawapannya ya! Perkahwinan merupakan satu tiket mudah untuk ke syurga jika mahligai yang dibina berdasarkan syariat Islam. Ganjaran besar akan diberikan buat pasangan yang saling mengingatkan antara satu sama lain tentang suruhan Allah SWT, mendirikan solat berjemaah, berkasih sayang kerana Allah dan banyak lagi. 

  1. Mendapat pahala Sunnah

Berkahwin itu merupakan Sunnah Nabi Muhammad SAW yang amat digalakkan sekiranya anda berkemampuan. Bukan sahaja anda mengikuti ajaran Rasulullah SAW malah anda mendapat pahala kerana berbuat demikian. Perkahwinan merupakan salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada perkara maksiat dan zina. Jika anda sudah berkemampuan dari segi semua aspek, maka sebaiknya disegerakan.

Tips Untuk Memenangi Hati Mak Mertua

Tips Untuk Memenangi Hati Mak Mertua

Flat Lay Photography of Mug and Coffee Bean

Pasti ramai dikalangan pasangan yang baru sahaja berkahwin risau akan bagaimana hendak ditawan hati ibu bapa mertua mereka. Terutama sekali bagi kaum wanita yang baru sahaja mengenali mak mertuanya. Pasti terpinga-pinga dibuatnya memikirkan cara hendak membina hubungan baik bersama mertua. Jangan risau, kami sedia membantu anda!

Sebenarnya untuk menawan hati ibu mertua adalah perkara yang agak mudah untuk dilakukan. Walau berbeza sikap dan pendapat, lumrah seorang ibu untuk mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tidak kiralah menantu perempuan mahupun lelaki, kedua-duanya harus cuba untuk menjadi menantu yang baik dan disayangi oleh keluarga mertua. Oleh itu, jom baca tips berikut untuk membuat mak  mertua semakin sayang dengan anda!

  1. Rajin menghulurkan tangan

Nak jadi menantu yang baik sebenarnya mudah sahaja. Pertama sekali, anda haruslah menunjukkan sikap yang rajin! Mak mertua mana yang sukakan menantu malas? Jika anda tinggal bersama keluarga mertua, apa yang anda boleh lakukan ialah dengan bangun awal dan merajinkan diri ke dapur, mengemas rumah, atau menyediakan makanan. Manakala bagi menantu lelaki, anda boleh membantu mertua dengan mengemas laman rumah, membaiki apa-apa yang perlu dibaiki, membersihkan kipas atau menjemur pakaian. Ringankan tulang untuk membantu mereka ketika berada di rumah.

  1. Menjaga kebajikan anaknya dengan baik

Ibu mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya bahagia bersama pasangan yang dikahwini? Oleh itu, sebagai menantu dan pasangan yang bertanggungjawab, anda harus menjaga kebajikan isteri atau suami. Contohnya dapat dilihat dengan menjaga makan dan pakaian, memberi nafkah secukupnya, mengembirakan hati pasangan dengan membawa mereka bercuti atau memberikan hadiah kepada pasangan. Apabila mak mertua melihat anaknya bahagia bersama anda, sudah tentu mereka akan berasa senang hati dengan kehadiran anda dalam keluarganya. 

  1. Rajin berborak atau mengambil hati mereka

Orang tua-tua amat sukakan anak muda yang bijak menyesuaikan diri. Jika anda berada di rumah keluarga mertua, anda boleh cuba untuk memulakan perbualan tentang apa-apa isu yang boleh menarik minatnya. Cuba ambil hati mak mertua dengan berjenaka, bercerita atau mendengar rintihan hati mereka. Jangan duduk diam dan kaku saja! Mulakan perbualan sekiranya mak mertua anda kelihatan senyap. Mungkin dengan perbualan ini dapat merapatkan lagi ukhuwah bersama si mertua.  

  1. Sering menziarahi dan bertanya khabar

Ziarah-menziarahi merupakan amalan mulia yang amat digalakkan dalam Islam. Jadi sebagai menantu yang prihatin, rajinkan diri anda untuk menziarahi keluarga mertua. Sekiranya anda tinggal jauh dan tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah mertua dengan kerap, anda boleh selalu bertanya khabar mereka di WhatsApp atau gunakan apa-apa sistem yang boleh memudahkan komunikasi bersama. Sekiranya anda berkelapangan untuk menziarahi mereka, maka bawalah buah tangan dan cuba untuk meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa mertua.  

  1. Menjaga adab dan akhlak

Walaupun anda sudah rapat dengan ibu bapa mertua, pastikan anda masih menjaga adab dan akhlak apabila bersama mereka. Jangan disebabkan dengan hubungan yang rapat ini, anda menjadi terlalu selesa untuk bergurau berlebih-lebihan atau bermalas-malasan sesuka hati anda. Peliharalah adab anda apabila bersama mereka. Hormatilah mereka sama sahaja seperti ibu bapa anda sendiri. Percayalah, dengan melihat akhlak serta adab yang mulia ini, anda berkemungkinan untuk menjadi menantu kesayangan mereka!