Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Buntu Berbual Dengan Pasangan Introvert? Ini 5 Cara Untuk Berbual Dengan Pasangan Introvert…

Pernah atau tidak anda merasakan terlalu sukar untuk bergaul dengan pasangan yang memiliki personaliti introvert?

Tidak hairan jika perkara seperti ini berlaku kerana mereka merupakan personaliti yang tidak banyak bicara, sukar mengungkapkan isi hati dan pemikiran secara terbuka. Marti Olsen Laney dalam buku The Introvert Advantage berkongsi bahawa golongan introvert ini memerlukan waktu untuk berfikir sebelum memberi respon balas terhadap kejadian di dunia luar. 

Jadi, bagi anda yang memiliki personaliti berlawanan iaitu ekstrovert, mari kita belajar kaedah terbaik untuk berkomunikasi dengan pasangan introvert anda.

  1. Dilarang mencelah 

Individu introvert memerlukan banyak tenaga untuk melanjutkan perbicaraannya. Hal ini kerana mereka mengambil masa untuk berfikir dan menyusun perkataan dengan baik sebelum melontarkannya. Justeru, ketika mereka berbicara dengarkan setiap percakapan mereka dengan baik tanpa mencelah.

Dengarkan sehingga mereka selesai kemudian baru utarakan idea atau perasaan anda kepadanya. Sebaik-baiknya rancang dan maklumkan terlebih dahulu jika anda ingin berbincang sesuatu perkara dengannya. Ini akan membantu mereka untuk bersedia dengan lebih awal dalam perbincangan tersebut.

  1. Duduk dengan tenang

Duduk dengan baik dan tenang di samping pasangan introvert anda di saat dia berehat di sisi anda. Hal ini menunjukkan bahawa pasangan anda mungkin keletihan dan ingin berkongsi rasa dengan anda. Ketika dia berbicara, pastikan anda memberi respon balas dan mendengar dengan baik. Ini akan membuatkan pasangan anda rasa amat dihargai.

  1. Beri peluang kepadanya untuk berbicara

Individu introvert terkenal dengan karakter pendengar yang baik. Walaupun begitu, selain membiarkannya terus mendengar pastikan anda juga membuka ruang untuknya berbicara. Anda boleh bertanyakan tentang bagaimana hari yang dilaluinya atau apa-apa sahaja sebagai pembuka untuk memujuknya berbicara.

  1. Berkomunikasi secara tulisan

Anda boleh mewarnai kehidupannya dengan pelbagai tulisan-tulisan atau kata-kata romantik melalui kad ucapan atau pesanan ringkas di telefon. Hal ini kerana individu introvert sangat menyukai komunikasi yang tidak memerlukannya untuk bersuara. Mereka lebih memilih untuk menulis atau membaca berbanding memberi respon secara lisan.

  1. Gunakan komunikasi nonverbal

Ada ketikanya pasangan introvert anda amat sukar untuk berbicara dan berkongsi perasaan yang dialaminya. Untuk membuatkan pasangan anda rasa tenang dan dihargai, gunakan komunikasi nonverbal seperti memegang tangannya atau berpelukan di saat dia memerlukan. 

Selamat beramal dan menyemai cinta dengan aman bersama pasangan introvert anda. 
Perlukan khidmat kaunseling, boleh layari www.tilljannah.my/kaunseling ya !

Berapa lama tempoh untuk ta’aruf?

Berapa lama tempoh untuk ta’aruf?

Berapa lama tempoh untuk taaruf?

Soalan ini kerap kali kami terima, berapa lama tempoh masa yang diperlukan untuk seseorang taaruf? 

Adakah sebulan?

3 bulan?

6 bulan?

Setahun?

3 tahun?

Secara umumnya, tiada sesuatu tempoh yang ditetapkan untuk seseorang lalui proses taaruf. Tetapi, proses taaruf ini sepatutnya tidaklah terlalu lama dan tidaklah terlalu singkat sangat. Sekadar memadai dan mencukupi untuk anda tahu perkara-perkara penting yang anda patut tahu sebelum membuat keputusan sama ada mahu teruskan atau pun tidak.

Apakah perkara penting yang patut anda tahu dan tanya kepada bakal pasangan? Tanyalah si dia tentang…

– kewangan

– latar belakang diri

– latar belakang keluarga

– kerja & hobi

– agama dan akhlak

– pendidikan

Dan banyak lagi perkara yang boleh anda tanya dalam sesi taaruf.

Sebaiknya tetapkan sesuatu tempoh masa taaruf yang dikehendaki dan maklumkan tempoh tersebut kepada calon pasangan supaya masing-masing jelas dengan matlamat seterusnya.

Percayalah, proses taaruf adalah proses mencari keserasian antara pasangan. Belajar untuk lebih terbuka, kemahiran komunikasi dan kemahiran berbincang.

Ingatlah proses taaruf berjalan bukan hanya sebelum pertunangan, proses ini diteruskan selepas pertunangan dan sepanjang menjadi suami isteri yang sah. Hari-hari kita latih diri untuk belajar perkara baru tentang pasangan. Boleh kan?

Belum jumpa calon pasangan yang sesuai? Mulakan langkah anda harini ini bertaaruf dengan calon-calon yang ada dalam Portal TillJannah.my. Boleh pilih negeri, umur, kriteria yang anda minat untuk berkenalan.

P/S- Daftar TillJannah.my sekarang dan lalui proses taaruf dengan tenang dan lapang dada. Moga ada sinar harapan terbaik untuk anda yang baca dalam bulan Ramadan ini.

>>>> TillJannah.my

Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Tips Untuk Perhubungan Jarak Jauh

Perhubungan jarak jauh ini bukan sesuatu yang mudah untuk setiap individu. Ada sesetengah pihak yang menganggap ia sebagai perkara yang kecil, namun ada juga yang merasakan ia sesuatu yang sukar untuk dikekalkan. Perlu diketahui bahawa setiap perhubungan yang dibina itu merupakan komitmen yang harus disertai dengan usaha yang berterusan. Jadi bagi anda yang merasakan perhubungan jarak jauh ini sukar, di sini akan kami kongsikan tips bagaimana untuk mengekalkan keserasian dan kebahagiaan bersama pasangan yang tinggal berjauhan dengan anda!

  1. Kepercayaan yang tidak goyah

Jika anda dan pasangan anda saling curiga antara satu sama lain, maka susah untuk dikekalkan perhubungan yang dibina. Cinta harus disemai dengan kepercayaan dan kesetiaan. Curiga itu dibenarkan cumanya perlu dilihat dalam kesesuaian konteks juga. Jangan sampai semua perkara anda nak curiga! Benda ini akan membuatkan pasangan anda merasa jengkel dan seterusnya membuatkan si dia berasa seperti tidak dipercayai.

  1. Komunikasi yang efektif

Ada pasangan yang saling berkomunikasi namun perhubungan mereka masih tidak berjaya. Sebab itu lah komunikasi antara pasangan tidak dinilai dari segi kekerapan sahaja, tetapi harus diteliti juga dari segi efektifnya. Jika anda dan pasangan sedang mengalami konflik, satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan berkomunikasi. Andai anda ada berasa tidak puas hati, maka jangan dipendam perasaan itu. Beritahu pasangan anda tentang perkara tersebut agar ia dapat diselesaikan.

  1. Kejujuran dalam apa jua situasi

Berlaku jujur dalam apa juga keadaan adalah amat penting! Jangan sesekali cuba menyorokkan apa-apa dari pasangan anda kerana perkara ini akan menjadi lebih memudaratkan di masa yang akan datang. Walau pahit macam mana sekali pun, cari satu masa yang sesuai untuk beritahu pasangan anda. Boleh dikatakan semua lelaki dan wanita akan lebih hargai pasangan mereka yang jujur. Tidak mengapa jika anda ada melakukan kesilapan, berterus terang dan mohon maaf jika ia benar-benar datang dari kekurangan diri anda sendiri.

  1. Kerap meluangkan masa bersama

Walaupun anda dan pasangan tidak berada dalam satu tempat yang sama, masih banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama! Contohnya seperti bermain online game, makan atau membaca al-Qur’an bersama melalui video call, sertai khusus atas talian bersama dan macam-macam lagi. Ini terpulang kepada kreativiti masing-masing, yang penting anda dan pasangan ada meluangkan masa sekali.

  1. Elakkan daripada bersangka buruk

Prasangka ini sangat bahaya. Ia akan mengundang pelbagai situasi yang tidak diingini. Terutamanya bagi kaum wanita, jauhi overthinking! Jika ada sesuatu yang mengganggu fikiran anda, lebih baik bertanya terus kepada pasangan anda daripada terus menerus memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Jangan terlalu memikirkan perkara yang belum tentu sahih, ia bukan sahaja boleh memudaratkan perhubungan yang dibina malah akan mengganggu kesihatan mental anda.

  1. Cemburu yang berpada-pada

Sifat cemburu itu perlu ada dalam sesuatu perhubungan. Namun, biarlah ia cemburu yang betul. Bukannya cemburu buta yang akan menyusahkan pasangan anda. Contohnya seorang isteri yang terlalu cemburu dengan suaminya yang sedang berurusan kerja. Ini adalah contoh sifat cemburu yang perlu diperbaiki. Jika suami atau isteri anda terlalu sibuk dengan kerja, anda boleh mengutarakan perkara itu kepada mereka. Bincang dengan baik dan elakkan daripada sindir menyindir atau bermasam muka. Perkara ini lebih baik sebelum tercetusnya pergaduhan yang tidak diingini.

  1. Membuat perancangan masa hadapan

Andai kata suami atau isteri anda harus bekerja di tempat jauh, boleh mula buat perancangan masa hadapan bersama. Bukankah cinta itu memerlukan pengorbanan? Mungkin boleh merancang untuk salah satunya berhenti kerja dan ikut pasangan ke tempat yang dihantar. Atau pun boleh juga sediakan tempoh yang sesuai sebelum anda berdua membuat keputusan untuk tinggal bersama. Hala tuju dalam sesuatu perhubungan itu sangat penting.

  1. Berdoa agar sentiasa dipelihara

Doa itu merupakan senjata umat Islam maka jangan sesekali mengambil mudah keistimewaan ini. Selalulah berdoa agar hubungan anda dan pasangan sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada sebarang gangguan. Berdoa juga agar anda dan pasangan dikurniakan kemudahan untuk menghadapi apa jua dugaan yang mendatang. Selitkan nama si dia agar hubungan ini kekal sehingga ke Syurga. Hubungan yang diredhai Allah itu tetap akan diuji sebagai tanda sayang Allah kepada hamba-Nya. Cuma jangan sesekali berhenti berharap pada Allah walau apa juga situasi yang melanda.

Apakah Yang Wanita Mahukan Dalam Sesebuah Perhubungan?

Apakah Yang Wanita Mahukan Dalam Sesebuah Perhubungan?

Seringkali kita mendengar kata-kata yang menyatakan bahawa wanita ini merupakan seorang makhluk yang sangat sukar untuk difahami kehendaknya. “Complicated” merupakan terma yang selalu dikaitkan dengan wanita. 

Sebenarnya wanita merupakan makhluk yang sangat lembut hatinya. Sifatnya sensitif di mana mereka amat mudah tersentuh atau terguris hati dengan perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh-temeh oleh sesetengah pihak. Namun begitu, ramai lelaki di luar sana tidak perlu khuatir kerana perkara ini dapat diselesaikan dengan mengambil langkah-langkah yang tepat. Antaranya seperti memahami keinginan hati si dia, menjadi pendengar yang baik, penghibur hatinya, memberi layanan yang lembut dan banyak lagi! Mungkin anda masih runsing memikirkan kehendak pasangan anda… jangan risau! Jom kita baca apa yang sebenarnya wanita mahukan dalam sesebuah perhubungan!

  1. Kasih sayang dan perhatian

Wanita adalah makhluk yang sangat sukakan perhatian dari orang yang mereka sayangi. Pastikan anda sebagai pasangan lelaki untuk sentiasa memastikan pasangan wanita anda tidak terabai walau sesibuk mana sekalipun. Luangkan masa untuk berbual tentang hari mereka atau menjadi pendengar tentang apa-apa isu yang ingin dikongsikan bersama.

  1. Kepercayaan dan sokongan

Semestinya kepercayaan dan sokongan itu sangat penting dalam sesuatu perhubungan. Wanita inginkan kepercayaan dan sokongan dari pasangannya untuk mempunyai kebebasan dalam mengurus diri mereka. Jangan terlalu bersifat mengongkong sehingga si dia tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa! Beri mereka ruang untuk membuat keputusan dan menyuarakan pendapat agar mereka dapat merasa dirinya lebih dihargai dan dihormati. 

  1. Kepastian

Perlu ada kepastian dalam sesebuah perhubungan. Wanita memerlukan kepastian untuk ketahui tujuan dan hala tuju hubungan yang dijalin. Jika perhubungan tersebut tiada hala tuju, pasangan wanita akan menganggap anda tidak serius dalam perhubungan. Pastikan anda memberitahu si dia tentang perancangan anda untuk memperisterikan mereka. Tetapi, jangan pula anda taburkan janji-janji manis tanpa mengeluarkan usaha yang setanding dengan janji tersebut!

  1. Kejujuran

Berlaku jujur dalam apa jua keadaan adalah perkara yang amat disenangi oleh para wanita. Jangan sesekali berbohong untuk menutup kesilapan yang anda lakukan. Lebih baik mereka tahu perkara tersebut daripada mulut anda sendiri dan bukannya daripada orang lain. Sekiranya mereka dapat tahu anda menipu, perkara ini bukan sahaja mengecewakan hatinya malah akan mengurangkan kepercayaannya terhadap anda.

Tips Untuk Memenangi Hati Mak Mertua

Tips Untuk Memenangi Hati Mak Mertua

Flat Lay Photography of Mug and Coffee Bean

Pasti ramai dikalangan pasangan yang baru sahaja berkahwin risau akan bagaimana hendak ditawan hati ibu bapa mertua mereka. Terutama sekali bagi kaum wanita yang baru sahaja mengenali mak mertuanya. Pasti terpinga-pinga dibuatnya memikirkan cara hendak membina hubungan baik bersama mertua. Jangan risau, kami sedia membantu anda!

Sebenarnya untuk menawan hati ibu mertua adalah perkara yang agak mudah untuk dilakukan. Walau berbeza sikap dan pendapat, lumrah seorang ibu untuk mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tidak kiralah menantu perempuan mahupun lelaki, kedua-duanya harus cuba untuk menjadi menantu yang baik dan disayangi oleh keluarga mertua. Oleh itu, jom baca tips berikut untuk membuat mak  mertua semakin sayang dengan anda!

  1. Rajin menghulurkan tangan

Nak jadi menantu yang baik sebenarnya mudah sahaja. Pertama sekali, anda haruslah menunjukkan sikap yang rajin! Mak mertua mana yang sukakan menantu malas? Jika anda tinggal bersama keluarga mertua, apa yang anda boleh lakukan ialah dengan bangun awal dan merajinkan diri ke dapur, mengemas rumah, atau menyediakan makanan. Manakala bagi menantu lelaki, anda boleh membantu mertua dengan mengemas laman rumah, membaiki apa-apa yang perlu dibaiki, membersihkan kipas atau menjemur pakaian. Ringankan tulang untuk membantu mereka ketika berada di rumah.

  1. Menjaga kebajikan anaknya dengan baik

Ibu mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya bahagia bersama pasangan yang dikahwini? Oleh itu, sebagai menantu dan pasangan yang bertanggungjawab, anda harus menjaga kebajikan isteri atau suami. Contohnya dapat dilihat dengan menjaga makan dan pakaian, memberi nafkah secukupnya, mengembirakan hati pasangan dengan membawa mereka bercuti atau memberikan hadiah kepada pasangan. Apabila mak mertua melihat anaknya bahagia bersama anda, sudah tentu mereka akan berasa senang hati dengan kehadiran anda dalam keluarganya. 

  1. Rajin berborak atau mengambil hati mereka

Orang tua-tua amat sukakan anak muda yang bijak menyesuaikan diri. Jika anda berada di rumah keluarga mertua, anda boleh cuba untuk memulakan perbualan tentang apa-apa isu yang boleh menarik minatnya. Cuba ambil hati mak mertua dengan berjenaka, bercerita atau mendengar rintihan hati mereka. Jangan duduk diam dan kaku saja! Mulakan perbualan sekiranya mak mertua anda kelihatan senyap. Mungkin dengan perbualan ini dapat merapatkan lagi ukhuwah bersama si mertua.  

  1. Sering menziarahi dan bertanya khabar

Ziarah-menziarahi merupakan amalan mulia yang amat digalakkan dalam Islam. Jadi sebagai menantu yang prihatin, rajinkan diri anda untuk menziarahi keluarga mertua. Sekiranya anda tinggal jauh dan tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah mertua dengan kerap, anda boleh selalu bertanya khabar mereka di WhatsApp atau gunakan apa-apa sistem yang boleh memudahkan komunikasi bersama. Sekiranya anda berkelapangan untuk menziarahi mereka, maka bawalah buah tangan dan cuba untuk meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa mertua.  

  1. Menjaga adab dan akhlak

Walaupun anda sudah rapat dengan ibu bapa mertua, pastikan anda masih menjaga adab dan akhlak apabila bersama mereka. Jangan disebabkan dengan hubungan yang rapat ini, anda menjadi terlalu selesa untuk bergurau berlebih-lebihan atau bermalas-malasan sesuka hati anda. Peliharalah adab anda apabila bersama mereka. Hormatilah mereka sama sahaja seperti ibu bapa anda sendiri. Percayalah, dengan melihat akhlak serta adab yang mulia ini, anda berkemungkinan untuk menjadi menantu kesayangan mereka!