Kahwin Itu Mudah Kalau Kita Mudahkan!

Banyak isu yang kita dengar zaman sekarang ini, orang mengadu kos majlis perkahwinan yang terlalu tinggi dan mahal. Banyak juga dikalangan anak muda yang memilih untuk menangguhkan perkahwinan oleh kerana ketidakmampuan untuk menampung kos majlis yang semakin mahal.

Ada juga yang dikalangan mereka memutuskan untuk tidak berkahwin dan menyatakan bahawa masalah ini lah yang menjadi penghalang buat mereka melangsungkan pernikahan! Persoalannya disini ialah kenapa perlu kita menyusahkan sesuatu keadaan itu jika kita boleh memudahkannya?

Jika dilihat garis panduan Islam berkenaan syarat sah pernikahan, kita hanya perlu patuhi rukun nikah iaitu dengan adanya pengantin lelaki dan perempuan beragama Islam, mas kahwin, wali pengantin perempuan, dua orang saksi serta ijab dan qabul. Kalau dari segi persediaan, mungkin banyak yang perlu dipertimbangkan. Namun tidak perlu kita susahkan ia dengan perkara yang remeh-temeh seperti:

  1. Majlis Perkahwinan ‘Grand’

Banyak diantara orang kita memang mementingkan majlis persandingan yang ‘grand’ untuk mencapai “piawai” masyarakat setempat. Perlu kita ketahui, Islam seringkali mengingatkan umat Islam untuk bersederhana dalam apa jua perkara. Tidak perlu kita adakan majlis ‘grand’ kalau tidak mampu menampung kos tersebut. Cukuplah dengan sekadar majlis yang biasa kerana tujuan walimah perkahwinan adalah untuk memperkenalkan pasangan yang baru berkahwin itu dan bukannya untuk berlumba-lumba majlis siapa yang lebih hebat.

  1. Duit Hantaran Terlalu Tinggi

Tujuan duit hantaran yang diberi oleh pihak lelaki adalah untuk meringankan pengurusan majlis pihak perempuan. Tetapi, janganlah kita mengambil kesempatan ini dengan meletakkan nilai duit hantaran yang terlalu tinggi. Sebaiknya kita mudahkan kedua-dua pihak dalam urusan ini. Jangan kita terlalu mementingkan diri ingin semuanya mudah sehingga membebankan orang lain yang ingin membina masjid, iaitu salah satu ibadah yang amat disayangi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

  1. Pemberian ‘Door Gift’ yang Mahal

Ini sudah menjadi salah satu norma masyarakat Melayu kita dengan membelanjakan sebahagian besar wang dalam pemberian saguhati untuk tetamu. Perlu kita ketahui, pemberian saguhati ini bertujuan untuk menghargai kehadiran tetamu kita. Oleh itu, daripada meletakkan bajet yang agak tinggi untuk perkara ini, lebih baik kita bersederhana dengan memberi sesuatu mengikut kemampuan kita. Tidak perlu beri door gift bernilai sehingga ratusan ringgit seorang. Cukuplah sekadar nilai yang bersesuaian untuk mengelak kos berlebihan.

  1. Jemputan Terlalu Ramai

Ini biasanya datang daripada permintaan ibu bapa kita. Orang tua-tua sememangnya gemar menjemput semua kenalan mereka ke majlis perkahwinan anaknya, terutama mereka yang mempunyai ibu bapa yang berkerjaya atau berpangkat tinggi. Apa yang anda boleh buat ialah berbincang dengan ibu bapa anda sehingga mencapai persetujuan. Beritahu mereka bajet yang telah anda tetapkan untuk jemputan tetamu bagi memastikan tiada lebihan kos di kemudian hari. Cukuplah sekadar menjemput keluarga dan kenalan rapat sekiranya bajet anda hanya sederhana. 

Konklusinya disini ialah perkahwinan itu sebenarnya adalah perkara yang sangat mudah. Tidak perlu kita pening kepala memikirkan perkara remeh-temeh. Cukuplah sekadar bersederhana mengikut kemampuan diri kita kerana yang sederhana itu adalah lebih afdhal disisi Allah SWT.

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial