Kadang-kadang kita menyukai si dia dalam diam, tetapi orang yang kita sukai itu sukar diketahui perasaanya. Adakala lelaki juga adalah makhluk yang sukar difahami, sama sahaja seperti kaum wanita. Tetapi, jangan khuatir. Anda sedang membaca artikel yang sesuai dijadikan rujukan untuk wanita di luar sana yang ingin mengetahui sekiranya lelaki yang anda suka itu mempunyai perasaan yang sama seperti anda! 

  1. Selalu berhubung

Selalunya orang yang berminat dengan kita akan meletakkan usaha yang tinggi untuk menambat hati kita. Jika si dia seringkali menghubungi anda untuk bertanya khabar atau mengajak anda berbual, kemungkinan besar lelaki itu menyenangi kehadiran diri anda dalam hidupnya atau si dia sebenarnya sudah mulai jatuh cinta dengan anda!

  1. Menjaga hati dan perasaan

Lelaki yang menyayangi seseorang wanita itu akan berusaha sedaya upaya untuk tidak melukai hati wanita yang disenanginya. Si dia akan cuba menjaga hati dan perasaan anda agar anda berasa selesa dan selamat bersamanya. Sekiranya dia ada mengatakan sesuatu yang melukai hati anda, sudah pasti lelaki itu akan lakukan apa sahaja untuk mengubat luka anda.

  1. Cemburu

Cemburu adalah tanda normal apabila seseorang itu mulai menyukai anda. Lelaki adalah makhluk yang jarang sekali menunjukkan sifat cemburu mereka secara terang-terangan. Namun lelaki yang sedang dilamun cinta, sifat cemburu mereka amat berbeza dengan orang biasa! Mereka akan mudah cemburu apabila anda banyak meluangkan masa dengan orang lain berbanding dirinya atau apabila ada lelaki lain yang cuba mendekati anda.

  1. Mengutamakan anda

Antara tanda untuk mengetahui seseorang lelaki itu sukakan anda ialah apabila si dia mengutamakan anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contohnya apabila anda meminta tolong daripadanya, si dia akan cuba sedaya upaya untuk membantu anda menyelesaikan masalah tersebut. Lelaki itu akan memastikan anda tidak terabai walau sesibuk mana sekali pun. 

  1. Mengajak jumpa ibu bapa

Ini adalah tanda yang paling ketara apabila lelaki itu benar-benar menyukai anda. Si dia tidak akan melengahkan masa lagi malah cuba untuk mengenali keluarga anda pula. Jika lelaki yang anda sedang berkawan itu mengajak anda untuk bertemu ibu bapanya, yakinlah bahawa dia sememangnya sudah jatuh cinta dengan anda! Ini kerana tidak semua lelaki berani memperkenalkan ibu bapa mereka kepada orang luar.

Sebenarnya terdapat banyak lagi tanda-tanda menunjukkan seseorang lelaki itu menyukai anda. Antaranya mereka mulai mengambil berat, berkongsi masalah dan perasaan, dan sentiasa ingin dekat dengan anda. Jika anda juga mempunyai perasaan yang sama, apa salahnya jika anda juga menunjukkan minat terhadapnya? Namun jika tidak, anda dinasihatkan untuk tidak memberikan harapan palsu malah boleh cuba untuk menjarakkan diri dengan berperilaku biasa agar si dia tidak terluka di kemudian hari.