Mudahkah Untuk Menjadi Seorang Isteri Solehah?

Usai sahaja akad yang dilafazkan oleh suami, maka bermulalah tanggungjawab anda sebagai seorang isteri di saat itu. Terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu anda penuhi demi mencapai keredhaan Allah SWT dalam sesebuah perkahwinan. Antaranya anda wajib mentaati suami yang dinikahi. Wajib memelihara maruah suami anda serta menyayangi dan menghormatinya sebagai ketua keluarga dan pasangan hidup anda. 

Perlu diketahui, sebenarnya sangat mudah bagi seseorang wanita itu untuk memasuki syurga. Sesungguhnya telah disebut oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, 

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9].

Sudah terang lagi bersuluh yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW bahawa wanita yang menjalankan kewajipan agamanya seperti solat fardhu dan puasa bulan Ramadan, memelihara maruah dirinya dan mentaati suaminya maka terbukalah kesemua pintu syurga untuknya. Akan tetapi, mengapakah ada hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim menyatakan bahawa kaum wanita itu juga merupakan penghuni paling ramai di dalam neraka?

Jawapannya ada dijawab melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari juga dimana Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya, 

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” [Sahih al-Bukhari 29, no. Hadith (22)]. 

Wanita yang kufur terhadap suaminya, yang seringkali menderhakai suami mereka inilah yang akan menjadi penghuni neraka. Apakah yang dimaksudkan dengan menderhakai suami? Contohnya dapat dilihat melalui perbuatan melawan, mengherdik, menghina, menengking dan tidak menghormati seorang suami. Seorang isteri yang solehah akan menjaga kata-katanya agar tidak melukai hati suaminya. Isteri yang baik juga akan sentiasa memelihara maruah suaminya walau dimana saja dia berada. 

Sesungguhnya redha Allah SWT terhadap seorang isteri itu terletak di atas redhanya seorang suami ke atas dirinya. Maka janganlah kita ambil mudah tanggungjawab sebagai seorang isteri ini. Seorang suami itu mempunyai hak ke atas isterinya sebagaimana Allah SWT telah meletakkan darjat yang tinggi seorang suami disisi isterinya. Oleh itu, diharapkan kita semua baik lelaki mahupun wanita, mampu cuba sedaya upaya untuk menjadi pasangan yang diredhai Allah SWT. 

Rujukan: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diambil dari https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2369-irsyad-al-hadith-siri-ke-263-sujud-pada-suami

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial