Panduan Berkesan Untuk Memujuk Pasangan Yang Kuat Merajuk!

Merajuk ini merupakan perkara normal dalam sesuatu perhubungan. Sama ada lelaki atau perempuan, kedua-duanya sama sahaja. Cuma yang membezakan mereka dalam hal ini adalah cara masing-masing dalam menunjukkan perbuatan merajuk itu. 

Ada yang mengatakan perempuan memang sinonim dengan “kuat merajuk”. Maklumlah, wanita memang sejenis makhluk yang dicipta dengan penuh perasaan dan emosi. Sebab itu juga wanita ini kaya dengan pelbagai jenis perasaan. Ada kalanya mereka sedang gembira, tiba-tiba beberapa minit kemudian mereka menangis. Itu adalah perkara normal bagi wanita. Tetapi ini tidak bermakna lelaki tidak mempunyai perasaan yang sama. Ada juga lelaki yang kuat merajuk tetapi mereka lebih kepada tidak menunjukkan perbuatan itu dengan secara terang-terangan. Sesetengah lelaki lebih gemar untuk menyendiri buat sementara waktu dan menggunakan masa tersebut dengan melakukan sesuatu yang boleh mengalihkan tumpuan mereka seperti lepak bersama kawan, beriadah atau bermain game

Perkara ini adalah subjektif kerana setiap manusia itu berbeza-beza. Ada pasangan yang mudah dipujuk, ada juga yang sangat sukar untuk ditawan hatinya apabila sudah merajuk. Jadi disini akan saya kongsikan beberapa panduan yang boleh digunakan untuk memujuk pasangan anda. Diharapkan selepas ini, pasangan akan lebih sayang dengan anda!

  1. Peka dengan Perubahan yang Ditunjuk

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah sudah pasti dengan memerhatikan perubahan sikap yang ditunjuk oleh pasangan. Jika anda mula merasai perubahan dari segi percakapan, atau perbuatan mereka seperti tidak lagi membalas mesej anda, tidak bersungguh dalam perbualan, atau menjauhkan diri daripada anda, ini adalah petunjuk jelas yang mereka sedang merajuk! Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan memberi mereka sedikit masa untuk menenangkan kesedihan atau kemarahan yang dirasai. Jangan terus terjah mereka dengan pelbagai soalan, sebaiknya anda beri mereka tempoh untuk cool down terlebih dahulu.

  1. Bertanya atau Bertegur Sapa

Sebaik sahaja anda memberi mereka tempoh bertenang, mungkin anda boleh mengambil langkah untuk bertegur sapa atau bertanya apa saja soalan yang ada di dalam fikiran. Tetapi hati-hati! Pastikan soalan yang ditanya adalah munasabah dengan keadaan yang baru sahaja berlaku. Anda boleh mulakan dengan bercerita tentang hari anda terlebih dahulu kemudian bertanya tentang hari si dia pula. Selepas itu, secara perlahan-lahan anda boleh bertanya sekiranya ada apa-apa kesalahan dari diri anda yang telah melukai hati mereka. Pada masa ini, anda boleh memberi peluang kepada si dia untuk menceritakan segala isi hatinya. Pastikan anda menjadi pendengar yang baik dan fahami cara komunikasi yang betul.

  1. Memohon Maaf Jika Terbuat Silap

Tidak bagus untuk sesuatu perhubungan jika kita membiarkan pasangan merajuk terlalu lama. Sebaik sahaja anda ketahui punca kepada permasalahan tersebut, anda boleh mengambil langkah untuk memohon maaf kepada pasangan jika ianya berpunca daripada kekurangan diri anda. Untuk menjaga keharmonian hubungan bersama pasangan, kita harus meletakkan ego di tahap yang paling rendah sekali. Jika anda ada melakukan kesalahan, terus sahaja mengaku kesilapan tersebut dan memohon maaf dengan ikhlas. Percayalah maruah diri anda tidak akan tercalar pun malah pasangan akan lebih menghargai anda selepas ini.

  1. Tidak Mengulangi Kesilapan yang Sama

Pentingnya untuk kita ketahui apa yang disukai dan tidak disukai oleh pasangan kita. Dari sini kita boleh belajar untuk bertolak ansur dengan kekurangan si dia. Jika anda tahu pasangan anda seorang yang pentingkan ketepatan masa, jangan pula anda melengah-lengahkan masa dengan sengaja. Berbalik kepada topik kita, sekiranya anda sudah memohon maaf, jangan pula anda mengulangi perbuatan yang sama sekali lagi. Perkara ini akan memberi kesan kepada tahap kepercayaan pasangan terhadap diri anda. Si dia akan menganggap permohonan maaf anda tidak bermakna oleh kerana perbuatan yang sama berulang lagi. Apa yang anda boleh buat ialah dengan perbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik.

  1. Memberi Hadiah atau Kejutan

Sekiranya anda dapati pasangan masih merajuk walaupun sudah mencuba pelbagai cara, apa yang anda boleh lakukan ialah dengan memberi hadiah atau membuat kejutan khas untuk si dia. Mungkin untuk wanita anda boleh menghadiahkan dengan barang-barang yang digemari seperti wangi-wangian, barang kemas, makanan atau pakaian. Manakala untuk si jejaka, anda boleh cuba membelikan si dia jam tangan yang baru, atau kasut dari jenama yang disukai. Berikan kejutan ini kepada mereka sebagai tanda penghargaan dan maaf anda terhadap si dia. 

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial