Jika Melepaskan Itu Adalah Lebih Baik, Maka Lepaskanlah…

Tiada satu pun manusia yang sempurna di dunia ini kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT sahaja. Melepaskan seseorang yang kita sayangi itu adalah perkara yang sangat sukar untuk dilakukan. Tidak kira apa jua situasi yang terjadi tetapi untuk melepaskan bukanlah semudah seperti yang disangka.

Ada kalanya kita sudah usaha sehabis mungkin, tetapi masih tidak berjaya. Dan ada kalanya juga, kita sudah cuba untuk menjadi yang terbaik untuk seseorang, tetapi masih tidak dihargai. Banyak pasangan yang telah berkahwin akhirnya memutuskan untuk bercerai kerana beranggapan itu sahaja jalan yang terbaik untuk mereka berdua. Meskipun Islam membenarkan penceraian, ia merupakan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT melainkan keadaan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri tersebut tidak lagi wajar dipertahankan seperti kes penderaan dan seangkatan dengannya. 

Ada pula situasi berlainan yang dihadapi oleh pasangan lain. Ada diantara mereka yang terpaksa bertahan kerana anak-anak walaupun sudah tidak bersehaluan lagi. Ini kerana mereka khuatir sekiranya mereka suami isteri bercerai, kestabilan mental anak-anak akan terganggu atau membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan. Banyak ibu bapa yang sanggup mengorbankan kebahagiaan diri sendiri bagi memastikan kehidupan anak-anak mereka tidak terjejas.

Namun sebagai seorang manusia, kita juga perlu memikirkan kebahagiaan yang selayaknya untuk diri  kita. Jika anda runsing memikirkan tentang perkara ini, anda disarankan untuk melakukan solat Istikharah dan memohon petunjuk daripada yang Maha Esa. Berdoalah dengan memohon petunjuk daripada-Nya kerana sesungguhnya Allah SWT itu lebih mengetahui segala yang terbaik buat setiap hamba-Nya. 

Selain daripada itu, anda juga disarankan untuk menghadiri khidmat kaunseling yang banyak disediakan untuk pasangan bermasalah. Disini anda akan diberi peluang untuk meluahkan segala isi hati yang terbuku agar masalah yang dihadapi dapat diteliti dan seterusnya diselesaikan. Sekiranya pasangan anda tidak mahu memberi kerjasama sewaktu menghadiri kaunseling, anda boleh duduk berbincang dengan mereka secara berdua untuk fahami masalah yang dihadapi oleh anda dan pasangan.

Akan tetapi, sekiranya anda dan pasangan sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut namun masih tidak berjaya, maka berserahlah segalanya kepada yang Maha Esa. Jika anda merasakan bahawa melepaskan itu merupakan jalan yang terbaik, maka lepaskanlah. Yang pastinya anda sudah usaha dan doa yang terbaik, jadi bertawakal lah pada Allah SWT untuk yang selebihnya.

Sekiranya jodoh anda dan si dia hanya sehingga situ sahaja, anggaplah ianya sebagai salah satu ujian daripada Tuhan. Mungkin dengan melepaskan yang ini, anda akan diberikan kebahagiaan yang selayaknya untuk diri anda. Sesungguhnya setiap perkara yang terjadi itu pasti ada hikmahnya.

Wallahu A’lam.

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial