Persediaan Untuk Bakal Pengantin

Bakal raja sehari pasti tidak akan senang duduk lebih-lebih lagi apabila tarikh pernikahan sudah semakin dekat. Ramai bakal pengantin masih memikirkan apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum menghadapi hari kebahagiaan, terutamanya bagi keluarga yang tidak pernah melakukan majlis perkahwinan sebelum ini. Tidak perlu khuatir, di sini akan kami kongsikan tip-tip persediaan untuk walimah!

  1. Tetapkan bajet perbelajaan

Sebelum anda pergi jauh, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah bajet perbelanjaan untuk majlis perkahwinan anda. Sekiranya anda menginginkan majlis yang sederhana, maka tidak perlu meletakkan bajet yang tinggi. Namun jika perancangan majlis anda termasuk dengan pelbagai agenda maka bajet perbelanjaan harus dalam angka yang besar.

  1. Buat aturan dan perancangan majlis

Aturan majlis sangat penting. Aturan majlis termasuklah ‘flow’ dan agenda dari permulaan sehingga tamat majlis tersebut. Contohnya seperti jam berapa pengantin akan berarak, waktu makan beradab, sesi memotong kek dan sebagainya. Bagi anda yang mempunyai bajet lebih, boleh juga melantik seorang perancang majlis. Perkara ini sangat memudahkan bagi bakal pengantin yang agak sibuk. Jika anda ingin menjimat kos, boleh sahaja merancang sendiri mengikut masa anda.

  1. Sediakan senarai undangan

Penyediaan senarai undangan akan memudahkan anda untuk mengira anggaran bajet dan menghantar kad jemputan. Namun di zaman moden ini, sudah ramai yang gemar menghantar jemputan melalui dalam talian. Perkara ini lebih menjimat kos serta masa! Sediakan format yang formal yang boleh dihantarkan ke semua golongan tanpa mengira status. Apa-apa pun ianya terpulang kepada tuan/puan empunya badan. Buatlah pilihan yang akan memudahkan anda serta orang sekeliling.

  1. Tempahan pakaian dan kelengkapan diri

Raja sehari sudah semestinya harus tampil menawan dan berseri-seri. Tempahan pakaian dan kelengkapan diri termasuklah pakaian pengantin, bunga tangan, barang kemas, kasut dan lain-lain. Untuk menjimat kos, anda boleh menyewa semua kelengkapan ini di busana pengantin sahaja. Namun bagi anda yang mempunyai cita rasa berbeza dan ‘sentimental value’ bagi sesuatu perkara itu pasti ingin memiliki pakaian pengantin yang tersendiri. Sekali lagi, ini adalah terpulang mengikut bajet perbelanjaan anda.

  1. Pemberian saguhati

Pemberiaan ‘goodie bags’ adalah tidak wajib tetapi dianggap penting sebagai tanda penghargaan buat tetamu. Bagi menghargai masa dan tenaga tetamu yang hadir meraikan anda, tidak salah untuk kita keluarkan sedikit perbelanjaan untuk mereka. 

  1. Penyediaan makanan dan minuman

Belum pernah dilihat sesebuah majlis perkahwinan itu tidak dihidangkan makanan serta minuman. Selalunya orang-orang di kampung gemar akan amalan rewang atau gotong-royong apabila hendak menjalankan majlis perkahwinan. Manakala bagi yang tinggal di bandar pula lebih senang dengan tempahan katering.

  1. Lokasi majlis

Ada pihak keluarga yang gemar melakukan walimah di rumah, namun ada juga yang gemar menempah dewan atau menyewa tapak. Lokasi majlis juga penting bagi memastikan kelancaran walimah yang akan dijalankan. Selalunya majlis perkahwinan yang dijalankan di rumah akan mengambil lebih banyak masa untuk persiapan berbanding di dewan. Jadi, lakukanlah pertimbangan yang sewajarnya bersama pihak keluarga sehingga mencapai kata persetujuan.

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial
%d bloggers like this: