Perbezaan antara lelaki dan wanita yang sedang merajuk dapat dilihat melalui perubahan perangai mereka. Biasanya wanita yang merajuk dapat diketahui apabila mereka mula menangis atau menjauhkan diri. Bagaimana pula dengan lelaki? Macam mana kita nak tahu seseorang lelaki itu sedang merajuk? 

  1. Berdiam diri

Tanda yang paling ketara menunjukkan seseorang lelaki itu sedang merajuk ialah apabila mereka mula banyak mendiamkan diri. Sewaktu kita bercakap dengannya mereka akan mengiyakan atau mengangguk sahaja. Apabila ditanya, jawapan yang diberi hanya sepatah dua. Manakala apabila diajak keluar mereka akan menolak ajakan tersebut. Layanan yang diberi juga akan berbeza untuk menunjukkan yang mereka sedang merajuk dengan kita!

  1. Mengelak pandangan mata

Lelaki yang sedang merajuk akan mengalihkan pandangan mata mereka daripada melihat pasangan wanitanya. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak bertentangan mata apabila bercakap atau bertemu. Sekiranya mereka perlu menyampaikan hasrat kepada anda, si dia akan cuba untuk meringkaskan urusan tersebut untuk mengelakkan diri daripada anda.

  1. Raut wajah masam atau kelat

Jika anda melihat si dia asyik dengan wajah masamnya, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sama ada anda ada melakukan perkara yang melukakan hati mereka atau mereka sedang memikirkan masalah lain. Selalunya lelaki yang merajuk akan berubah raut wajahnya tanpa senyuman seperti dahulu. Sekiranya anda perhatikan raut wajahnya kelat sahaja apabila berbicara dengan anda, yakinilah si dia sedang merajuk dengan anda.

  1. Keluar dengan kawan-kawan

Bagi melupakan masalah yang dihadapi dengan anda, si lelaki akan mengambil tindakan untuk keluar bersama rakan-rakan mereka. Mereka akan pergi lepak untuk berseronok atau meluahkan  masalah. Ini merupakan salah satu cara bagi lelaki untuk melupakan masalah yang mereka hadapi.

  1. Sibukkan diri dengan hobi

Kebanyakkan lelaki yang sedang merajuk akan lebih gemar mengasingkan diri mereka daripada anda. Mereka akan sibukkan diri dengan hobi seperti beriadah atau bermain game. Contohnya, pada hujung minggu anda berdua selalu meluangkan masa bersama pergi bertemu janji tetapi sekarang si dia lebih suka melakukan hobi secara bersendirian. Ini bermakna mereka sedang merajuk dengan anda!

Lelaki amat jarang menunjukkan perasaan sedih mereka melainkan mereka benar-benar terluka. Sekiranya anda perasan yang si dia menunjukkan tanda-tanda seperti di atas, maka percepatkanlah langkah untuk memujuk mereka. Lelaki juga ingin dipujuk oleh wanita. Jangan biarkan mereka merajuk terlalu lama kerana dikhuatiri perkara ini akan menggugat perhubungan anda berdua.