Jika dilihat statistik status perkahwinan rakyat Malaysia, terdapat ramai lelaki dan wanita dewasa yang masih tidak berkahwin. Banyak faktor yang menyumbang kepada isu ini termasuklah faktor kewangan, komitmen kerja, ketiadaan calon dan sebagainya. Ada juga yang masih tidak berkahwin oleh kerana kekecewaan cinta yang lalu! Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perkara ini oleh kerana sebab-sebab yang tertentu. Akan tetapi, janganlah anda khuatir kerana jodoh itu boleh dicari dengan doa dan usaha.
Ada di antara kita yang telah lama menyulam cinta dengan pasangan namun akhirnya kedua-duanya berkahwin dengan orang lain. Ada juga yang pernah berkenalan di zaman lalu namun ditemukan semula dengan keizinan Allah SWT. Itulah yang dinamakan rahsia jodoh.
Kalau dilihat trend zaman sekarang, banyak anak muda yang gemar menjalinkan hubungan sebelum berkahwin atau dengan bahasa mudahnya dipanggil “couple”. Seperti yang kita semua telah tahu, couple ini sebenarnya tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam. Rasulullah SAW telah menekankan dalam banyak hadis baginda mengenai penjagaan ikhtilat dan juga kemaluan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara maksiat seperti pergaulan bebas, bersentuhan dengan bukan muhrim, perbualan berbaur lucah dan banyak lagi.
Jika dibahaskan mengenai perkara ini, banyak benda buruk berbanding baik yang dapat kita lihat. Oleh itu, Islam telah lama mengajar umatnya untuk tidak mendekati zina apatah lagi melakukan zina.
Sebagai seorang mukmin, usah kita khuatir jika masih belum bertemu jodoh. Tidak perlu anda ikuti trend “couple” kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah sekalipun. Ada yang mengatakan bahawa “Bagaimana kita hendak mengenali sesorang itu kalau kita tak bercinta (couple) dengannya terlebih dahulu?” Jawapannya ialah banyak cara sebenarnya!
Islam telah meletakkan banyak garis panduan dalam mengenali seseorang itu sebelum berkahwin. Ini dipanggil sebagai sesi taaruf atau merisik dimana kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin boleh bertemu bersama keluarga masing-masing untuk sesi perkenalan. Disini anda dibenarkan untuk bertanya apa-apa soalan yang bersesuaian seperti pekerjaan, kemahiran diri, masalah kesihatan, atau apa sahaja soalan yang anda anggap penting untuk diketahui. Jika anda merasakan si dia sesuai untuk dijadikan calon suami atau isteri, boleh bawa terus hubungan tersebut ke pertunangan.
Sewaktu dalam tempoh pertunangan ini lah anda boleh mengambil kesempatan untuk mengenali pasangan anda dengan lebih mendalam. Gunakan peluang ini untuk mengetahui hobinya, benda yang disukai atau dibenci, dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, alam pertunangan ini banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Meskipun banyak mengatakan tidak elok sekiranya bertunang terlalu lama, tetapi jangan pula terlalu singkat sehingga anda tidak berpeluang untuk melakukan persediaan yang secukupnya. Jadi gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dengan mengenali pasangan anda dan membuat persediaan dari segi semua aspek seperti mental, fizikal, dan kewangan sebelum ke alam perkahwinan.
Kalau sudah jodoh, pasti akan dimudahkan oleh Allah SWT. Dan kalau sudah jodoh, pasti tidak akan kemana. Teruskan usaha dan doa yang berterusan, selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT. Sesungguhnya jodoh dan ajal itu pasti, dan ia akan tiba pada masanya.