Ciri-Ciri Wanita Yang Sesuai Dijadikan Isteri dan Ibu

Tidak dinafikan setiap lelaki di dunia ini pasti mengidamkan wanita yang baik untuk dijadikan pasangan hidup serta ibu kepada anak-anak. Begitu juga dengan wanita, menginginkan seorang lelaki yang boleh dijadikan ketua keluarga yang boleh membimbing mereka dan anak-anak.

Jika diperhatikan zaman ini, keruntuhan akhlak dikalangan lelaki dan wanita semakin merisaukan. Isu ini bertambah membimbangkan apabila banyaknya berlaku kes pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol dan pergaulan bebas dikalangan wanita dan lelaki Muslim Malaysia. 

Pemilihan seorang isteri dan suami yang baik amat penting untuk masa depan yang akan datang. Ini kerana pasangan yang dipilih bakal dijadikan teman hidup kita untuk selamanya. Perkahwinan yang bakal dibina bukanlah untuk sehari dua, tetapi sehinggalah ke akhir hayat kalau diizinkan-Nya. Wanita yang dipilih bakal membimbing anak-anak kita di masa akan datang, oleh itu, mari kita teliti apakah ciri-ciri seorang wanita yang sesuai dijadikan seorang isteri dan ibu.

  1. Memahami

Sifat memahami amat penting dalam perhubungan. Namun tidak semua orang memiliki kebolehan untuk memahami keadaan atau situasi seseorang itu. Sifat memahami dapat dilihat melalui sikapnya yang mengambil berat tentang keadaan anda. Contohnya, anda sedang sakit dan tidak mampu bekerja buat sementara waktu. Seorang wanita yang baik akan memahami keadaan anda dengan membantu anda untuk mengurangkan beban.

  1. Penyabar

Wanita yang baik selalunya memiliki sifat penyabar. Dia tidak akan mudah bersangka buruk atau melenting apabila terjadi sesuatu masalah. Malah beliau akan mengambil langkah untuk menenangkan diri terlebih dahulu dan seterusnya bertanya akan situasi yang berlaku. Wanita yang panas baran atau mudah bersangka buruk adalah lebih baik dijauhi.

  1. Penyayang

Mengambil berat merupakan salah satu ciri-ciri wanita penyayang yang sesuai dijadikan isteri. Jika anda dapati si dia seringkali bertanya khabar, ataupun simpati akan keadaan buruk yang menimpa anda, sesungguhnya dia seorang yang penyayang. Seorang wanita penyayang akan sentiasa mengambil peduli keadaan orang yang disayangi. Jika tidak, mereka tidak akan mengambil hirau apa-apa pun yang terjadi kepada anda.

  1. Pendengar yang baik

Untuk menjadi seorang pendengar yang  baik adalah bukan perkara mudah. Kebanyakkan di antara kita lebih gemar mengkritik apabila seseorang meluahkan isi hati mereka. Seorang pendengar yang baik akan meluangkan masa mereka untuk mendalami luahan hati anda. Mereka juga tidak akan cepat ‘menghukum’ anda tanpa asbab yang munasabah. Sekiranya anda dapati seseorang wanita itu boleh mendengar luahan anda tanpa mencelah mahupun mengkritik, malah turut simpati dengan keadaan anda, ketahuilah beliau seorang pendengar dan peneman yang baik.

  1. Bijak mengurus diri

Wanita yang bijak menguruskan diri selalunya adalah wanita yang bertanggungjawab dan mampu berdikari. Mereka tahu menjaga maruah dirinya sendiri. Bijak dalam menjaga batas-batas agar tidak diperlakukan sesuka hati oleh orang lain. Pandai dalam membuat keputusan dan bijak bergaul serta menyesuaikan diri mengikut situasi dan tempat.

Apa-apa pun, untuk memiliki pasangan hidup yang baik, kita juga harus menjadi yang terbaik. Maka mulalah perbaiki diri sedikit demi sedikit kerana jodoh itu cerminan diri kita.

About the author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial