Panduan Pematuhan Syariat

Berikut ialah panduan yang boleh digunakan bagi memastikan batas-batas perhubungan tetap terjaga dan tidak menjerumuskan diri kita ke dalam kemaksiatan dan dosa. Ia adalah panduan yang disampaikan oleh Dr. Zaharuddin bagi menjawab soalan daripada seorang wanita yang berhasrat untuk "melamar" seorang lelaki yang baik. Berikut ialah nasihat beliau kepada wanita tersebut:

1.Saudari boleh meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh difahami kepada lelaki untuk membina rumahtangga bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW.

2.Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik.

3.Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat).

4.Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, kerana ia amat mudah membawa kepada yang haram.

5.Jangan menghebahkan kepada awam selagi mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan.

6.Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki dan wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

7.Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan emel, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

8.Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu dijaga (semuanya menurut dalil Al-Quran & Al-Hadith) adalah seperti berikut:

- Haram bersentuh atau menyentuh satu sama lain.
- Haram "berdating" dan "bercouple" tanpa disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, telefon, chat, messenger dan lain-lain.
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum diijab kabul.

9.Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yang dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin.

Link untuk membaca artikel penuh:
http://www.zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/212-antara-displin-islam-dalam-pertunangan.html

👇🏼 Join telegram kami 👇🏼
t.me/TillJannahPortalJodoh