Pernahkah anda merasa seolah-olah amalan diri sendiri masih tidak mencukupi? Atau perasaan yang membuat anda rasa seperti diri ini masih banyak dosa yang perlu dihakis? Itu menunjukkan anda seorang yang beriman! Allah SWT menghadirkan perasaan tersebut untuk mengembalikan anda ke jalan yang benar dan seterusnya bertaqwa kepada-Nya. Jadi apakah yang boleh anda lakukan untuk menambah pahala serta meningkatkan keimanan diri? Antaranya termasuk….

  1. Perbanyakkan solat sunat taubat

Seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW, perbanyakkanlah solat sunat taubat dan jangan sesekali menangguhnya. Ini kerana pada bila-bila masa sahaja nyawa kita boleh ditarik Allah SWT. Oleh itu, dengan  memperbanyakkan amalan solat sunat taubat, hati kita akan menjadi lebih tenang.

  1. Segera menunaikan solat fardhu

Apabila berkumandangnya azan, maka bersegeralah untuk menunaikan solat. Mereka yang melewatkan solat akan menyebabkan banyak kerugian dalam kehidupannya!

  1. Membaca Al-Qur’an

Setiap kalimah yang disebut dari bacaan Al-Qur’an akan dikurniakan pahala. Maka perbanyakkanlah membaca Al-Qur’an pada setiap hari. Kitab suci ini lah yang akan menjadi pembantu utama anda di hari Akhirah kelak.

  1. Berzikir dengan penuh penghayatan

Setiap kali usai solat, berzikirlah dengan penuh penghayatan. Cuba untuk fahami makna bagi setiap kalimah zikir yang diucapkan. InshaAllah hati kita akan menjadi lebih tenang dan dilapangkan oleh Allah SWT.

  1. Rajin berpuasa sunat

Apabila anda berpuasa, peluang untuk berbuat dosa juga akan berkurangan. Rajinkan diri untuk berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau hari-hari lain yang dianggap mulia dalam Islam seperti puasa sunat Hari Arafah, Hari Asyura, Puasa Enam Bulan Syawal dan lain lain.

  1. Selalu mengingati mati dan hari Akhirat

Sesungguhnya mengingati mati itu dapat menjauhkan diri kita daripada kelalaian dunia. Anggaplah setiap hari yang kita lalui itu mungkin menjadi hari terakhir kita di dunia. InshaAllah perkara ini akan membawa kita lebih dekat kepada-Nya.

  1. Berdoa dengan penuh kesungguhan

Jangan sia-siakan doa anda dengan hati yang lalai. Berdoalah dengan penuh kesungguhan bahawa doa anda itu akan dimakbul oleh Allah SWT. Selalulah berdoa agar Tuhan menetapkan iman anda di jalan yang benar dan diizinkan untuk mati dalam Khusnul Khotimah.

  1. Mencari ilmu yang benar

Ilmu merupakan cahaya yang akan membantu kita di Akhirat kelak. Carilah ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan dunia serta Akhirat anda. Perbaiki fahaman agama anda terutamanya ilmu Aqidah, Ibadah dan Tauhid yang berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.

  1. Meningkatkan amalan baik

Jika anda ingin meningkatkan keimanan diri, maka anda boleh cuba dengan perbanyakkan amalan baik dalam kehidupan harian anda. Contohnya, anda boleh bermula dari rumah dengan membantu ibu bapa anda melakukan kerja rumah, memberi layanan baik kepada keluarga dan sebagainya.

  1. Mendekati orang-orang yang baik

Mereka yang memberi pengaruh buruk adalah wajar dijauhi. Dekatkan diri anda dengan orang-orang yang sentiasa mengingatkan anda kepada Tuhan. Dengan ini, diharapkan pengaruh baik tersebut juga akan membantu anda untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.