Sudah kita ketahui bahawa alam perkahwinan itu akan disusuli dengan tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab dalam kehidupan rumahtangga itu adalah sesuatu perkara yang harus ditunaikan. Jika tidak, perkara ini akan disoal kelak di hari Akhirat. Maka disini akan saya kupaskan beberapa nota penting berkenaan tanggungjawab atau tugas yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki yang bergelar suami.

  1. Memberi nafkah

Nafkah adalah perkara yang wajar dititikberatkan dalam perkahwinan. Suami wajib memberi nafkah kepada isterinya mengikut kemampuan dirinya. Ini kerana seorang isteri itu mempunyai hak ke atas suaminya untuk mendapatkan nafkah zahir dan batin. Menurut Undang-Undang Islam di Malaysia, isteri boleh menfailkan kes suami yang tidak melunaskan nafkahnya di Mahkamah Syariah. Selain itu, nafkah anak-anak juga merupakan tangungjawab seorang suami. Contohnya seperti wang perbelanjaan, pakaian, makan dan minum serta tempat tinggal.

  1. Membimbing isteri dan anak-anak

Selain daripada memberi nafkah, seorang suami juga harus mendidik isteri dan anak-anaknya ke jalan yang diredhai Allah. Suami harus mengajarkan ilmu agama yang mencukupi agar institusi kekeluargaan yang dibina itu dapat menuju ke Syurga Allah bersama-sama. Walau bagaimanapun, sebelum seseorang suami itu mendidik isteri dan anak-anaknya, dirinya juga harus lengkap dengan ilmu agama yang secukupnya. Ini kerana kelak si suami lah yang harus menasihati serta mengajar ahli keluarganya ilmu pendidikan Islam yang betul. 

  1. Mencari rezeki

Seorang suami itu merupakan ketua keluarga yang akan menjadi tulang belakang ahli keluarganya. Anda yang bergelar suami wajib menyediakan keperluan yang secukupnya untuk isteri dan anak-anak. Maka dengan itu, anda lah yang harus keluar mencari rezeki buat seisi keluarga. 

  1. Menjadi pelindung

Sudah pasti isteri yang dikahwini itu juga harus dilindungi. Maka sudah menjadi tanggungjawab seorang suami untuk melindungi isterinya daripada perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatannya. Ketua keluarga yang baik akan memastikan isteri dan anak-anaknya sentiasa dilindungi daripada perkara-perkara yang merbahayakan dengan menyediakan tempat tinggal yang selamat, makan dan minum yang halal, dan banyak lagi. 

  1. Berlaku adil

Mungkin ramai lelaki yang mengambil mudah tentang perkara ini. Berlaku adil itu merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Meskipun seorang lelaki itu wajib mentaati ibunya, si dia juga wajib berlaku adil kepada isterinya. Sekiranya si suami melebihkan ibunya dan mengambil mudah tentang kebajikan isterinya, maka kelak di Akhirat beliau akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Begitu juga dengan lelaki-lelaki yang berpoligami, harus berlaku adil dengan wanita-wanita yang dikahwininya.