Flat Lay Photography of Mug and Coffee Bean

Pasti ramai dikalangan pasangan yang baru sahaja berkahwin risau akan bagaimana hendak ditawan hati ibu bapa mertua mereka. Terutama sekali bagi kaum wanita yang baru sahaja mengenali mak mertuanya. Pasti terpinga-pinga dibuatnya memikirkan cara hendak membina hubungan baik bersama mertua. Jangan risau, kami sedia membantu anda!

Sebenarnya untuk menawan hati ibu mertua adalah perkara yang agak mudah untuk dilakukan. Walau berbeza sikap dan pendapat, lumrah seorang ibu untuk mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tidak kiralah menantu perempuan mahupun lelaki, kedua-duanya harus cuba untuk menjadi menantu yang baik dan disayangi oleh keluarga mertua. Oleh itu, jom baca tips berikut untuk membuat mak  mertua semakin sayang dengan anda!

  1. Rajin menghulurkan tangan

Nak jadi menantu yang baik sebenarnya mudah sahaja. Pertama sekali, anda haruslah menunjukkan sikap yang rajin! Mak mertua mana yang sukakan menantu malas? Jika anda tinggal bersama keluarga mertua, apa yang anda boleh lakukan ialah dengan bangun awal dan merajinkan diri ke dapur, mengemas rumah, atau menyediakan makanan. Manakala bagi menantu lelaki, anda boleh membantu mertua dengan mengemas laman rumah, membaiki apa-apa yang perlu dibaiki, membersihkan kipas atau menjemur pakaian. Ringankan tulang untuk membantu mereka ketika berada di rumah.

  1. Menjaga kebajikan anaknya dengan baik

Ibu mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya bahagia bersama pasangan yang dikahwini? Oleh itu, sebagai menantu dan pasangan yang bertanggungjawab, anda harus menjaga kebajikan isteri atau suami. Contohnya dapat dilihat dengan menjaga makan dan pakaian, memberi nafkah secukupnya, mengembirakan hati pasangan dengan membawa mereka bercuti atau memberikan hadiah kepada pasangan. Apabila mak mertua melihat anaknya bahagia bersama anda, sudah tentu mereka akan berasa senang hati dengan kehadiran anda dalam keluarganya. 

  1. Rajin berborak atau mengambil hati mereka

Orang tua-tua amat sukakan anak muda yang bijak menyesuaikan diri. Jika anda berada di rumah keluarga mertua, anda boleh cuba untuk memulakan perbualan tentang apa-apa isu yang boleh menarik minatnya. Cuba ambil hati mak mertua dengan berjenaka, bercerita atau mendengar rintihan hati mereka. Jangan duduk diam dan kaku saja! Mulakan perbualan sekiranya mak mertua anda kelihatan senyap. Mungkin dengan perbualan ini dapat merapatkan lagi ukhuwah bersama si mertua.  

  1. Sering menziarahi dan bertanya khabar

Ziarah-menziarahi merupakan amalan mulia yang amat digalakkan dalam Islam. Jadi sebagai menantu yang prihatin, rajinkan diri anda untuk menziarahi keluarga mertua. Sekiranya anda tinggal jauh dan tidak berkesempatan untuk pulang ke rumah mertua dengan kerap, anda boleh selalu bertanya khabar mereka di WhatsApp atau gunakan apa-apa sistem yang boleh memudahkan komunikasi bersama. Sekiranya anda berkelapangan untuk menziarahi mereka, maka bawalah buah tangan dan cuba untuk meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa mertua.  

  1. Menjaga adab dan akhlak

Walaupun anda sudah rapat dengan ibu bapa mertua, pastikan anda masih menjaga adab dan akhlak apabila bersama mereka. Jangan disebabkan dengan hubungan yang rapat ini, anda menjadi terlalu selesa untuk bergurau berlebih-lebihan atau bermalas-malasan sesuka hati anda. Peliharalah adab anda apabila bersama mereka. Hormatilah mereka sama sahaja seperti ibu bapa anda sendiri. Percayalah, dengan melihat akhlak serta adab yang mulia ini, anda berkemungkinan untuk menjadi menantu kesayangan mereka!