Islam merupakan sebuah agama yang sangat mulia dimana ianya mementingkan hak bagi setiap penganutnya. Dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi Muhammad SAW telah lama menggariskan panduan khas mengenai hak-hak seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh seorang suami. Islam sangat melindungi kaum wanita dimana Nabi SAW pernah bersabda, 

Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh yang terbaik dikalangan kaum lelaki dimana Baginda SAW dilihat melayani isteri-isterinya dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut seperti yang banyak disebut dalam Al-Qur’an serta Hadith Baginda. Jadi apakah yang dimaksudkan dengan hak-hak asas yang wajib ditunaikan ke atas seorang isteri?

  1. Pemberian nafkah

Seorang suami wajib memberi nafkah buat seorang isteri yang dikahwininya. Seperti yang diketahui, nafkah terbahagi kepada dua jenis iaitu nafkah zahir dan batin. Seorang suami yang bertanggungjawab tidak akan sesekali mengabaikan nafkah buat isterinya. Perkara ini merupakan hak seorang isteri dimana mereka boleh menuntut di mahkamah Syariah sekiranya tidak dilunaskan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

  1. Mahar

Mahar juga merupakan perkara wajib ditunaikan oleh sang suami. Seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah An-Nisaa’ ayat 4, 

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

  1. Kasih sayang dan layanan baik

Seorang isteri berhak mendapatkan kasih sayang dan layanan yang baik daripada suaminya. Suami yang baik akan sentiasa memastikan isterinya tidak terabai walau sesibuk mana sekali pun. Contoh terbaik dapat dilihat melalui layanan Nabi Muhammad SAW bersama isteri-isteri baginda yang begitu lembut dan penuh dengan kecintaan.

  1. Melindungi isteri

Wanita itu dicipta khusus untuk dilindungi dan dipelihara. Oleh itu, sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, anda wajib melindungi isteri anda daripada sebarang perkara yang membahayakan. Islam sangat menghormati kaum wanita sehingga Nabi SAW sendiri menasihati umatnya untuk sentiasa melayani para isteri dan kaum wanita dengan baik. 

  1. Berbelanja untuk isteri

Jangan sesekali berkira dengan isteri anda. Wang yang dikeluarkan untuk isteri berbelanja bagi mencantikkan dirinya untuk anda itu pasti akan diberi ganjaran pahala. Sekiranya anda membuat isteri bahagia dan gembira, pasti Allah SWT akan melipat kali gandakan pahala anda! Jadi keluarkanlah walau sedikit amaun untuk isteri pergi berbelanja untuk dirinya. InshaAllah Allah SWT akan meluaskan lagi rezeki anda selepas ini!