Dalam memilih seseorang untuk menjadi pasangan hidup kita, adakah penting untuk kita menilai rupa parasnya terlebih dahulu? Perlukah kita mencari seseorang yang kacak dan cantik dari segi rupa parasnya atau cukup sekadar sedap mata memandang sahaja?

Akan wujudnya perbezaan pendapat mengenai rupa paras seseorang itu oleh kerana tahap kecantikan dan ketampanan itu sendiri adalah sebuah topik yang bersifat subjektif. Sebagai contohnya, mungkin pada pendapat anda Lisa Surihani dianggap sebagai pelakon tanah air yang paling cantik, tetapi pada sesetengah orang lain, mungkin Erra Fazira dianggap lebih cantik. Ini yang dimaksudkan perkara subjektif. Pandangan manusia akan berbeza mengikut cita rasa masing-masing. 

Tetapi dalam perkongsian kita pada hari ini, adakah penting untuk kita melihat rupa paras terlebih dahulu dalam menilai seseorang itu untuk menjadi pasangan hidup kita?

Jawapannya ialah penting! Tetapi…. ianya bukanlah perkara yang harus diutamakan. Sebagai seorang manusia, lumrah hidup kita untuk sukakan kecantikan, tidak kiralah pada manusia mahupun benda-benda material. Akan tetapi dalam memilih pasangan hidup, kita juga harus menilai rupanya. Ini bukan bermaksud kita harus memilih pasangan yang “handsome” atau “flawless” tetapi biarlah yang sedap mata memandang

Apakah yang dimaksudkan dengan “sedap mata memandang”? Frasa ini boleh dimaksudkan dengan penampilan yang bersesuaian mengikut cita rasa anda. Ini bermakna si dia tidak perlu memiliki hidung yang mancung, bibir yang munggil, atau mata yang besar. Yang pasti cukup sifat seperti yang anda inginkan. Contohnya, senyuman yang manis atau potongan rambut yang kemas. 

Mengapakah rupa paras ini dianggap penting? Perkara ini telahpun digariskan dalam Islam sebagai panduan dalam memilih pasangan hidup kerana kecantikan atau ketampanan itu juga akan menentukan zuriat yang akan datang. Meskipun ianya penting tetapi rupa paras itu bukanlah perkara yang harus diutamakan. Perkara yang harus didahulukan adalah seperti agamanya, keturunan, akhlak, harta, dan sebagainya. 

Mungkin akan timbul persoalan jika rupa paras yang elok itu penting, bagaimana pula dengan mereka yang tiada rupa paras? Jangan khuatiri, seperti yang sudah diulas sebentar tadi bahawa kecantikan itu adalah subjektif. Ini kerana akan ada hamba Allah SWT yang menilai kecantikan atau ketampanan anda dari sudut yang berbeza. Mungkin si dia akan tertawan dengan sifat lemah lembut anda atau kebolehan anda untuk mengurus diri. Sekiranya wajahnya sahaja yang cantik dan tampan tetapi agama dan akhlaknya tidak elok, perkara ini akan lebih membimbangkan masa depan anda bersama pasangan. 

Oleh itu, jangan risau sekiranya anda merasa diri sendiri tidak cukup tampan atau cantik. Setiap manusia yang dicipta Allah SWT itu adalah sempurna dan mempunyai kecantikan yang tersendiri. Kecantikan dan ketampanan tidak semestinya dinilai dari rupa paras sahaja. Ianya boleh datang dari akhlak yang baik, pertuturan yang lemah lembut, senyuman yang manis dan banyak lagi! 

Jangan merasakan rupa paras itu sebagai penghalang untuk anda bertemu jodoh. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan sentiasa perbaiki diri sendiri dari segi semua aspek. Jika sebelum ini anda seorang yang tidak terurus, anda boleh bermula dengan menjaga penampilan dari segi pemakaian dan perlakuan. Mungkin si dia yang anda cari akan terpikat dengan kekemasan diri anda! Paling penting sekali, teruskan berusaha, sayangi diri anda serta jadilah seseorang yang mempunyai gaya yang tersendiri.