1. Sentiasa mencari keredhaan Allah

Untuk mengekalkan sesebuah perkahwinan, pastinya kita perlu meletakkan keredhaan Allah itu yang pertama. Hubungan yang diredhai Allah tidak bermakna tidak akan diuji oleh-Nya. Cuma bezanya ialah setiap ujian yang dihadapi itu akan menjadi lebih ringan dan mudah untuk diharungi. Mencapai keredhaan Allah dalam sesebuah perkahwinan yang dibina itu semestinya akan diberi ganjaran yang tidak ternilai di Akhirat kelak!

  1. Saling mempercayai

Dalam perhubungan perlu wujud kepercayaan antara satu sama lain. Terutamanya bagi mereka yang menjalani perhubungan jarak jauh. Sekiranya kedua-dua pasangan tidak saling mempercayai, maka sukarlah untuk menjayakan hubungan tersebut apatah lagi untuk mengekalkannya. 

  1. Berlaku jujur dan setia

Pasangan yang baik adalah mereka yang sentiasa jujur akan setiap gerak-geri dan perbuatan mereka. Mereka tidak akan menyembunyikan atau merahsiakan apa-apa daripada pengetahuan pasangan sendiri. Walau dimana saja mereka berada, kesetiaan itu diberikan penekanan untuk menjauhi konflik dan memelihara rumah tangga yang dibina.

  1. Sayang dengan seikhlas hati

Peliharalah dan sayangilah pasangan yang dikahwini itu bagai menatang minyak yang penuh. Pertimbangkan segala pengorbanan yang telah banyak dikeluarkan dan tidak mensia-siakan perkahwinan tersebut dengan menyayangi dan menghargai pasangan kita seikhlas hati. Perkahwinan yang sentiasa diselubungi dengan kasih sayang antara suami isteri sudah tentu akan dicintai oleh Allah SWT.

  1. Tidak mengongkong

Untuk mengelakkan pasangan kita bosan akan kehidupan berumah tangga, maka janganlah kita sesekali mengongkong suami atau isteri kita! Jangan terlalu cemburu sehingga isteri tidak dibenarkan untuk keluar ataupun terlalu risau akan pergerakan suami sehingga menyekat mereka daripada menikmati kehidupan sosial seperti orang biasa. Sifat cemburu memang perlu ada dalam sesuatu perhubungan namun ia perlu dikawal agar pasangan kita merasa diri mereka dipercayai dan selamat untuk bersama kita sehingga akhir hayat.

  1. Memelihara maruah pasangan

Dalam perkahwinan, suami isteri diwajibkan untuk sentiasa menjaga maruah pasangan. Ia merupakan salah satu tanggungjawab yang harus dititikberatkan. Walau ke mana saja kita pergi, ingatlah yang kita perlu menjaga air muka suami atau isteri kita. Contohnya, janganlah kita memarahi pasangan atau berlaku tidak senonoh dihadapan khalayak ramai kerana perbuatan ini sudah tentu akan menjatuhkan air muka pasangan kita dan juga diri sendiri! 

Sesuatu perhubungan itu dapat dikekalkan sekiranya kedua-dua pasangan bersama-sama berusaha untuk memelihara bahtera yang dibina. Suami dan isteri perlu memainkan peranan yang penting dalam menjaga perhubungan dengan sentiasa mementingkan keredhaan Allah, saling mempercayai, berlaku jujur dan setia, sayang seikhlas hati, tidak mengongkong, dan memelihara maruah pasangan. InshaAllah dengan izin-Nya perkahwinan yang dibina dapat dijaga sehingga ke akhir hayat.