Bagi mengelakkan pembaziran kepada perkara yang tidak sepatutnya, anda perlu bijak merancang kewangan bermula dari usia muda. Banyak dikalangan anak muda, terutamanya, masih tidak mahir dalam ilmu pengurusan kewangan yang menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai simpanan tetap.

Pengetahuan dalam pengurusan kewangan amat penting apabila kita mula masuk ke alam perkahwinan. Bayangkanlah jika anda tiba-tiba sahaja diberhentikan kerja, apakah yang perlu anda buat untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka ini? Oleh itu, pentingnya kita belajar mengurus wang dari awal.

Antara langkah permulaan yang boleh anda lakukan ialah dengan mengasingkan duit gaji anda untuk simpanan dan perbelanjaan. Pastikan anda kekal berdisiplin dengan tidak membelanjakan wang simpanan untuk perkara yang bukan kecemasan. Duit yang disimpan itu boleh dijadikan wang persediaan untuk menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka.

Selain itu, antara cadangan untuk menstabilkan kewangan juga boleh dilakukan dengan meningkatkan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan harian dan bulanan. Untuk mengurangkan perbelanjaan, mari kita lihat antara pembaziran yang banyak dilaburkan tanpa kita sedari.

  1. Bayaran Langgan Bulanan

Perlu kita akui bahawa yuran langgan bulanan memberi impak yang agak besar dalam perbelanjaan kita. Antara langganan yang popular dikalangan rakyat Malaysia ialah seperti  langganan majalah, siaran televisyen, muzik atau keahlian gim. Mengapakah perkara ini dikategorikan sebagai pembaziran tanpa sedar? Ia kerana kebanyakkan langganan ini tidak digunakan sepenuhnya dan boleh didapati melalui saluran yang percuma. Contohnya langganan muzik. Untuk mengelakkan pembaziran, anda boleh mendengar lagu di YouTube tanpa dikenakan sebarang bayaran.

  1. Barangan Kehendak

Sebelum kita mendalami perkara ini, amat penting kita ketahui perbezaan antara keperluan dan kehendak. Barang keperluan merupakan kepentingan asas yang diperlukan untuk semua manusia meneruskan kehidupan. Contohnya seperti pakaian, tempat tinggal atau makanan. Manakala barang kehendak ialah keinginan terhadap sesuatu untuk memastikan kehidupan lebih selesa melebihi tahap minimum. Contoh barang kehendak boleh dilihat seperti kereta mewah, telefon pintar terkini, dan seangkatan dengannya. 

Sekiranya anda sudah fahami konsep keperluan vs. kehendak ini, pengurusan kewangan anda akan menjadi lebih efisien. Anda tidak perlu mengeluarkan banyak wang untuk perkara remeh seperti kasut berjenama, jam tangan mewah atau tudung dan pakaian yang mahal. Perbelanjaan yang sederhana akan menyelamatkan anda di masa yang akan datang!

  1. Perbelanjaan Makanan

Jika anda mempunyai peralatan masak di rumah, apa kata anda cuba sediakan makanan dari rumah sahaja? Tidak perlu berbelanja makan di luar pada setiap hari. Jika anda tidak mempunyai skil memasak, mungkin dengan keadaan ekonomi yang sebegini anda boleh cuba belajar memasak. Ini kerana makanan yang disediakan oleh kita juga dapat menjamin tahap kebersihan dan mengawal tahap kesihatan diri sendiri. Wang yang banyak dilaburkan untuk makanan segera dapat digunakan untuk membeli stok bahan mentah. Penyediaan makanan di rumah semestinya dapat mengelakkan diri anda daripada membazir.