Ada beberapa perkara penting yang perlu kita ketahui sebelum menuju  ke alam perkahwinan. Maklumlah, kita hendak hidup dengan bakal pasangan kita untuk jangka masa yang panjang, kalau boleh sehingga ke akhir hayat, jadi persediaan dari segi mental dan fizikal itu amat penting. Mari kita teliti beberapa tips persediaan sebelum ke alam perkahwinan. 

  1. Betulkan Niat 

Seperti yang biasa kita lihat di media sosial, gambar-gambar pasangan bahagia menikmati kehidupan berumahtangga, kita juga mempunyai keinginan untuk merasai benda yang sama. Namun, harus kita ingati, hidup berumahtangga bukanlah indah dan murni sentiasa. Kita tidak boleh bersangka bahawa alam perkahwinan itu tidak mempunyai cabaran dan ujian. Jadi, perkara terbaik yang kita boleh lakukan ialah dengan membetulkan niat kita semula sebelum mendirikan rumahtangga. Jangan pasang niat berkahwin hanya untuk menghalalkan sentuhan, tetapi pasanglah niat bernikah tujuan untuk mencapai redha Allah SWT dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. InshaAllah, sekiranya dari mula kita sudah berniat yang baik, pasti perjalanan hidup berumahtangga itu akan diberkati oleh-Nya.

  1. Perbaiki Ibadah dan Akhlak

Ramai yang ingin berkahwin, tetapi tidak ramai yang meletakkan usaha yang tinggi dalam memperbaiki ibadah dan akhlaknya sebelum berkahwin. Tidak kisahlah lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya wajib mengetahui perkara asas Islam seperti Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, Ilmu Ibadah, Ilmu Syariat dan sebagainya. 

Seorang lelaki yang bakal menjadi imam kepada isteri dan anak-anaknya wajib kuasai ilmu agama sebelum berkahwin dan begitu jugalah dengan wanita yang bakal membimbing anak-anaknya kelak. Bukan sahaja ibadah, akhlak yang buruk juga amat penting untuk diperbaiki. Jika sebelum ini anda seorang yang pemarah, pastikan sebelum anda berkahwin, belajar untuk memperbaiki sifat marah tersebut. Jika sukar, anda boleh cuba hadiri kelas pengurusan kemarahan yang banyak dianjurkan oleh organisasi luar. InshaAllah dengan baiknya ibadah dan akhlak anda, moga-moga kehidupan rumahtangga juga dipermudahkan oleh Allah SWT.

  1. Mantapkan Kewangan

Cinta sahaja tidak akan menjamin kehidupan yang aman selepas berkahwin. Cinta sahaja tidak mampu menampung kos kehidupan yang tinggi. Oleh itu, mantapkanlah kewangan anda sebelum menuju ke alam perkahwinan. Pastikan anda mempunyai simpanan yang tetap setiap bulan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Banyak diantara kita yang tidak mempunyai simpanan tetap dan perkara ini memberi impak yang besar sekiranya berlaku kecemasan seperti diberhentikan kerja, rumah dirompak, dan sebagainya. Belajar untuk mengawal kewangan anda sebelum berkahwin agar perkara yang tidak diingini seperti hutang yang melambung dan pembaziran dapat dielakkan.

  1. Jaga Ikhtilat

Istilah ‘couple’ atau ‘cinta Islamik’ tidak wujud sebelum berkahwin. Islam tidak membenarkan sama sekali pengikutnya untuk terjebak dalam perkara yang sia-sia tersebut. Ini kerana pentingnya kita untuk menjaga batas dan ikhtilat antara berlainan jantina. Perkahwinan itu adalah ibadah maka janganlah kita mulakan ibadah dengan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Pastikan anda fahami garis-garis pergaulan dalam Islam seperti menjaga pandangan, memelihara maruah diri, tidak berbual perkara sia-sia, dan sebagainya. Jika kita mahu alam rumahtangga kita itu diredhai oleh Allah SWT, maka janganlah kita dekati apa yang Dia larangi seperti bersentuhan, bergurau senda, berdua-duaan dan melunakkan suara dalam perbualan sebelum bernikah. 

Akhir kata, banyak persediaan dan ilmu yang perlu kita kuasai sebelum berkahwin. Perbanyakkanlah untuk memperbaiki diri dari segi ibadah, akhlak, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Kehidupan berumahtangga tidak akan sentiasa diselubungi dengan kemanisan. Diharapkan dengan bekalan persediaan yang kita bawa ini dapat membantu kita untuk mengharungi alam perkahwinan dengan redha-Nya.