Sesuatu hubungan yang dijalin memerlukan sokongan dan kerjasama dua-dua pihak. Tidak nafikan juga dalam sesuatu hubungan itu sudah pasti akan ada turun naiknya.

Ada masa anda bersama pasangan dalam keadaan yang manis, ada masa sedih, ada masa tegang, ada masa gembira, dan sebagainya. Semua situasi ini akan dihadapi oleh semua pasangan sama ada yang sedang bercinta mahupun yang sudah berkahwin. Namun, untuk memastikan sesuatu perhubungan yang dibina itu berjaya, dua-dua pihak mestilah memainkan peranan yang baik dan betul. 

Jadi mari kita teliti lima ciri-ciri pasangan yang toksik untuk dijadikan rujukan dalam fasa percintaan dan alam perkahwinan. 

  1. Penderaan Emosi

Penderaan emosi amat jarang dibincangkan dalam perhubungan. Perkara ini boleh terjadi tanpa kita sedari. Contoh penderaan emosi boleh dilihat sekiranya pasangan anda terus menerus memberi kritikan yang merendah-rendahkan diri anda, mengeluarkan kata-kata kesat atau hinaan, meletakkan semua kesalahan kepada anda, mengugut untuk mencederakan diri anda, dan banyak lagi. 

Semua situasi yang disebut ini boleh memberikan kesan yang tidak baik untuk kesihatan mental anda dalam jangka masa yang panjang. 

  1. Tidak Mahu Mengalah

Antara sifat pasangan toksik ialah ego yang tinggi sehingga menyebabkan mereka tidak mahu mengalah dalam apa jua situasi, terutamanya di dalam konflik atau pertengkaran. Keadaan ini dapat dilihat apabila pasangan anda tidak mahu memberi kerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka malahan lebih memilih untuk menyalahkan diri anda seratus peratus tanpa melihat kekurangan diri mereka juga. 

Oleh itu, sifat toleransi dan memahami amat penting di dalam sesuatu hubungan yang sihat.  

  1. Hanya Menerima, Tidak Memberi

Hubungan yang sihat memerlukan kerjasama dua-dua pihak. Sekiranya hanya anda saja yang memberi, tetapi tidak menerima apa-apa dalam pulangan maka ketahuilah pasangan anda itu bermasalah.

Definisi ‘memberi’ dalam konteks ini boleh dikategorikan dari segi memberi perhatian, sokongan, bantuan, dan seangkatan dengannya. 

  1. Kurang Berkomunikasi

Komunikasi dalam perhubungan adalah salah satu elemen penting untuk memastikan hubungan yang dijalin itu sentiasa kukuh. Anda boleh menyuarakan rasa sedih, tidak puas hati ataupun marah kepada pasangan anda. Namun, perkara akan menjadi lebih buruk sekiranya si dia bertindak untuk tidak mengambil peduli tentang keadaan yang sedang berlaku. 

Apabila timbulnya sesuatu masalah, maka komunikasi antara pasangan perlu wujud bagi melegakan sebarang ketegangan yang ada. Namun, jika si dia memilih untuk tidak menghiraukan konflik tersebut, maka sedarlah bahawa anda layak mendapat pasangan yang jauh lebih baik.

  1. Tiada Rasa Hormat

Sifat hormat-menghormati antara satu sama lain juga merupakan elemen krusial dalam perhubungan. Pasangan yang baik itu sudah pasti tidak akan menyakiti anda tanpa sengaja. Dia akan memanggil anda dengan panggilan yang mulia, bertutur perkara yang baik, dan yang paling penting sekali, si dia akan menghormati dan menghargai anda sebagai pasangannya. Sekiranya pasangan anda sering mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap anda ataupun sering menyelubungi anda dengan aura negatif, maka lebih baik anda mengambil langkah untuk meninggalkan si dia sebelum keadaan menjadi bertambah buruk. 

Bayangkanlah sekiranya si dia tidak tahu menghormati anda sebelum mendirikan rumahtangga, adakah anda yakin pasangan anda akan berbuat sebaliknya apabila sudah berkahwin? Buatlah pertimbangan yang sebaiknya dalam memilih pasangan kita.

Konklusinya, memilih pasangan yang baik untuk berkahwin bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Kita, wanita mahupun lelaki perlulah sentiasa memperbaiki diri sendiri untuk menjadi pasangan yang baik agar masalah dalam fasa seterusnya dapat dielakkan.