Biasanya kita mendengar lelaki bercinta dan berkahwin dengan wanita yang lebih muda. Sejak kebelakangan ini kita banyak juga mendengar lelaki-lelaki di serata dunia yang mula berkawan dan seterusnya berkahwin dengan wanita yang lebih berusia. 

Trend ini mula menjadi perhatian di dalam dunia hiburan selepas artis Hollywood, Nick Jonas yang berumur 28 tahun berkahwin dengan artis Bollywood, Priyanka Chopra yang jauh 10 tahun lebih tua daripadanya. Contoh terdekat dalam kalangan artis tempatan kita dapat dilihat melalui perkahwinan Zain Saidin dan Rozita Che Wan, serta Fattah Amin dan Fazura. Dari sudut sejarah Islam sendiri kita dapat melihat dari perkahwinan Nabi Muhammad SAW bersama Saidatina Khadijah. Dari sini dapatlah kita setujui bahawa perbezaan umur adalah bukan penghalang untuk seseorang itu jatuh cinta mahupun berkahwin. 

Jadi apakah kebaikan yang dapat diperolehi sekiranya pasangan wanita kita lebih tua? Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang mendorong lelaki untuk bercinta dengan wanita yang lebih berusia. 

  1. Berfikiran Terbuka 

Wanita yang lebih berusia seringkali dikaitkan dengan kematangan yang tinggi. Mereka dikatakan lebih bijak dalam mengurus halatuju hidupnya. Wanita berusia juga lebih berfikiran terbuka dan matang dari segi sifat dan perangainya. Mereka jarang sekali dikaitkan dengan sifat suka mengongkong, contohnya. 

  1. Daya Intelek Yang Tajam

Daya intelek yang tajam dan sifat berkeyakinan diri yang tinggi juga dikaitkan dengan wanita yang lebih berusia. Mereka lebih pandai membawa diri dan realistik dalam alam kehidupan. Wanita berusia juga selalu tahu apa yang mereka mahu dan bijak dalam membuat keputusan.

  1. Sifat Keibuan

Sifat keibuan memang tidak akan lari dari seseorang yang bergelar wanita. Namun, wanita lebih berusia dikatakan mempunyai sifat keibuan yang lebih tinggi berbanding wanita muda. Ada yang mengatakan, dalam diri seseorang lelaki itu sentiasa ada jiwa anak kecil. Wanita lebih berusia dikatakan suka mengambil berat dan lebih memahami dalam sesuatu hubungan. Jadi dengan sifat keibuan para wanita berusia ini lah yang dapat memenuhi kemanjaan tersembunyi itu.

  1. Emosi Lebih Stabil

Hubungan percintaan dengan wanita lebih berusia juga sangat bagus dari segi keharmonian emosi dan mental. Ini disebabkan wanita berusia bijak dalam mengurus emosi mereka oleh kerana pengalaman hidup yang telah banyak mereka tempuhi. Mereka tidak mudah goyah dengan sesuatu masalah, malah lebih matang dalam mengurusnya.

Umur bukanlah pengukur kematangan seseorang itu. Ada yang lebih berumur tetapi masih tidak bijak mengawal marah. Ada yang lebih muda tetapi bijak mengurus kewangan diri. Maka umur sepatutnya tidak boleh dijadikan penghalang dalam membina sesuatu perhubungan. Apa yang wajar diambil kira adalah agama, keturunan, kecantikan atau ketampanan, beserta harta seperti yang dilandaskan mengikut syariat Islam. Memerhatikan sifat, perangai, dan karakter seseorang itu juga boleh dijadikan faktor-faktor dalam memillih pasangan yang baik.